KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Jemaah Menteri mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melaksanakan reformasi tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai langkah awal sebelum sebarang pindaan kepada Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) dipertimbangkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti hasil Kajian Kebolehlaksanaan Pindaan Akta 190 yang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula 1 Dis 2025 hingga 31 Mac tahun ini.
Beliau berkata kajian itu mendapati penambahbaikan tadbir urus DBKL tidak semestinya memerlukan pindaan undang-undang pada peringkat awal, sebaliknya boleh dimulakan menerusi reformasi pentadbiran termasuk pengukuhan tatakelola, mekanisme semak dan imbang serta penyelarasan dalaman institusi.
“Susulan keputusan itu, JWP bersama DBKL kini sedang merangka pelan transformasi bagi memperkukuh tadbir urus DBKL dan memastikan pentadbiran bandar raya itu terus relevan dan berkesan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hannah berkata bagi melengkapkan kajian berkenaan, UIAM mengadakan libat urus bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur pada 2 Mac 2026 dan pengurusan DBKL pada 9 Mac lepas bagi mendapatkan pandangan mengenai struktur pentadbiran, proses membuat keputusan, penyampaian perkhidmatan, penguatkuasaan dan akauntabiliti DBKL.
Beliau memaklumkan kajian itu turut meneliti cadangan Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri (PMAC) supaya entiti perundangan Datuk Bandar Kuala Lumpur diubah daripada konsep perbadanan tunggal kepada perbadanan korporat melalui penubuhan Majlis Tertinggi.
Beliau berkata kajian itu juga mengambil kira Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen Kuala Lumpur di bawah Peraturan 49 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, katanya kajian berkenaan mendapati sebarang pindaan kepada Akta 190 perlu diteliti secara berhati-hati kerana melibatkan struktur tadbir urus tertinggi termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor, selain berkait rapat dengan sejarah serta kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam konteks ini, ruang penambahbaikan yang dikenal pasti hendaklah terlebih dahulu dilaksanakan melalui reformasi dalaman secara pentadbiran seperti arahan dalaman, garis panduan, protokol operasi dan mekanisme penyelarasan dalaman institusi sebelum pindaan kepada kerangka statutori dipertimbangkan,” katanya.
Sementara itu, Hannah berpandangan sistem ahli majlis tidak perlu diperkenalkan dalam struktur DBKL buat masa ini kerana mekanisme semak dan imbang boleh diperkukuh menerusi struktur sedia ada tanpa mewujudkan lapisan baharu yang berpotensi menyebabkan pertindihan fungsi dan ketidakjelasan akauntabiliti.
Katanya kajian itu juga mencadangkan kerangka tatakelola Lembaga Penasihat DBKL diperincikan, termasuk kriteria pelantikan ahli profesional dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain memperkukuh peranan Ahli Parlimen Kuala Lumpur sebagai institusi pengawasan demokratik dan saluran representasi awam tanpa memberikan kuasa pentadbiran secara langsung.
Beliau berkata dapatan kajian menunjukkan kebanyakan isu dalam pelaksanaan semasa bukan berpunca daripada ketiadaan peruntukan undang-undang, sebaliknya disebabkan kekurangan garis panduan dan tatacara tadbir urus yang jelas, konsisten serta mempunyai punca kuasa yang mencukupi.
Hannah berkata kajian itu turut menegaskan model pentadbiran Kuala Lumpur sebagai Perbadanan Tunggal di bawah subseksyen 5(1) Akta 190 selaras dengan niat asal perundangan dan perubahan kepada struktur tersebut berpotensi menjejaskan kerangka pentadbiran khas ibu negara.
-- BERNAMA