AM

Ikhtiar Damai Cermin Kematangan Rakyat, Perkukuh Perpaduan - PM Anwar

19/03/2026 05:25 PM

PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan usaha perdamaian yang digerakkan badan bukan kerajaan (NGO) mewakili komuniti Melayu dan India sebagai cerminan kematangan rakyat dalam memilih jalan damai serta menolak perpecahan.

Beliau yang menyambut baik ikhtiar perdamaian itu berkata inisiatif berkenaan turut mengangkat semangat saling menghormati antara kaum.

“Inilah roh dan jiwa sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh berdiri atas nilai ihsan, kebersamaan dan hormat antara kaum.

“Kebersamaan ini mesti terus kita pelihara dan rangkul sebagai asas kekuatan negara,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjayakan usaha berkenaan.

“Semoga ikhtiar ini terus menyatukan kita dan menjadi teladan dalam memperkukuh perpaduan nasional,” kata beliau.

Semalam, 30 wakil NGO daripada komuniti Melayu dan India bertemu bagi mencari titik perdamaian yang diadakan menerusi program Harmoni MADANI dalam usaha menyelesaikan kemelut dihadapi kedua-dua komuniti secara baik dan menyeluruh.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2536077