PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara menyambut baik inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bersama wakil komuniti India yang mengadakan pertemuan bagi mencari titik pendamaian, susulan isu sensitiviti kaum dan agama yang timbul kebelakangan ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan hari ini berkata usaha itu mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam menangani perbezaan secara berhemah melalui dialog dan persefahaman.
"Kepelbagaian yang dimiliki oleh Malaysia bukanlah satu kelemahan, sebaliknya kekuatan yang menjadi asas kepada keunikan dan kelebihan daya saing negara.
"Setiap perbezaan harus diurus dengan hikmah, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta semangat perpaduan nasional yang menjadi asas kekuatan negara," katanya.
Aaron berkata sejarah telah membuktikan bahawa asas perpaduan negara ini terbina melalui rundingan, tolak ansur dan persefahaman antara pemimpin pelbagai kaum sebelum kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
"Kesepakatan ini kemudiannya dimuktamadkan dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan dokumen tertinggi negara yang menjadi tunjang kepada kestabilan, keadilan dan keseimbangan antara kepelbagaian kaum, agama dan budaya," katanya.
Formula unik Malaysia seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan, yang dengan jelas memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, di samping menjamin kebebasan beragama, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, tanpa menafikan hak kaum-kaum lain, perlu terus difahami, dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak.
Dalam masa yang sama, Aaron berkata kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan melalui tindakan melampau atau provokatif.
Undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, jelas memberikan kuasa untuk menangani isu sensitif berkaitan kaum dan agama, tetapi penguatkuasaan masing-masing perlu diperbaiki dan dipertingkatkan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mesti mempertingkatkan tindakan secara lebih tegas, pantas dan proaktif bagi membuktikan keberanian moral kerajaan.
Aaron berkata beberapa insiden melibatkan sensitiviti agama dan kaum yang tular di media sosial menunjukkan kepentingan memperkukuh ruang dialog, literasi perpaduan serta sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
"Kementerian terus komited menyediakan pelbagai platform bagi merapatkan jurang kefahaman antara rakyat, antaranya melalui Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama serta inisiatif Harmoni MADANI yang dilancarkan pada 2024," katanya.
Selain itu, sejak 2023, kementerian telah melaksanakan pendekatan lebih menyeluruh dan berimpak tinggi dengan menekankan konsep Perpaduan Dalam Kepelbagaian dan Harmoni Dalam Kepelbagaian sebagai asas realiti masyarakat majmuk Malaysia.
"Pada masa sama, usaha memperkasakan penghayatan Rukun Negara terus dipertingkatkan selain memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa berteraskan identiti bersama dan nilai kebangsaan," katanya.
-- BERNAMA