KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Kestabilan sebenar negara bergantung kepada kekuatan perpaduan rakyat serta kesediaan untuk bergerak bersama demi masa depan Malaysia yang lebih makmur dan berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa serta global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kunjungannya ke Sabah memberi peluang untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pimpinan tempatan, penjawat awam, peniaga kecil serta golongan muda yang disifatkan sebagai harapan masa depan negeri dan negara.
“Sabah mengingatkan kita bahawa kekuatan Malaysia bukan sekadar pada hasil bumi, tetapi juga pada keharmonian rakyat yang hidup dalam semangat muafakat dan saling menghormati, selain komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.
Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Sabah semalam yang menyaksikan beliau menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026, selain program Mini Konvensyen Keadilan serta Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang peringkat negeri Sabah.
Beliau turut meluangkan masa mengadakan tinjauan mesra di Bazar Ramadan University Apartment, Sepanggar sebelum mengakhiri lawatan dengan menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama rakyat Sabah.
-- BERNAMA