AM

Aidilfitri Sepi Tanpa Arwah Suami - Balu FRU

19/03/2026 08:34 AM

IPOH, 19 Mac (Bernama) -- Setiap kali menjelang Syawal, rumah kecil itu dahulunya meriah dengan cahaya lampu hiasan yang dipasang rapi, gelak tawa anak-anak dan aroma masakan yang menghidupkan suasana perayaan Aidilfitri.

Bagaimanapun tahun ini, segalanya berbeza buat Nur Aini Samiun, 45, yang berasa “sepi” apabila Aidilfitri disambut tanpa insan yang selama ini menjadi tunjang keluarga.

Suaminya, Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim antara sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam di sini yang terkorban selepas terbabit dalam nahas dengan lori membawa muatan batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada 13 Mei 2025.

Kejadian tragis yang meragut nyawa suaminya itu meninggalkan kekosongan yang sukar diisi bukan sahaja buat Nur Aini tetapi juga tiga anak mereka, Muhd Raqin Najmi, 14, Muhd Rizqi Nazhan, 10, dan Nur Aqeela Rawida, 7.

“Kalau untuk anak-anak, raya tetap raya... saya buat macam biasa, tak ada kurang cuma jauh di sudut hati, perasaan itu tidak lagi sama. 

"Entahlah, serius saya katakan, saya tidak ada rasa nak beraya tahun ini kerana sangat-sangat berbeza, memang ada kekurangan,” kata wanita itu kepada pemberita di rumahnya di Taman Kinding Jaya semalam.

Nur Aini berkata selama 15 tahun melayari bahtera kehidupan berumah tangga, dia mengakui dirinya sering menjadi “perancang utama” setiap kali musim perayaan tiba daripada membeli pakaian sehingga membuat persiapan rumah. 

"Suami pula lebih banyak menurut dan membantu apa yang perlu... namun, kini setiap tugas yang dahulunya dikongsi terasa lebih berat untuk dipikul sendirian.

“Dulu kami bahagi-bahagi kerja... sekarang, semua saya kena buat sendiri dan kadang-kadang anak bongsu berkata 'kalau ada ayah, tak perlulah mama buat semua kerja'... itu yang melekat di bibir mereka," katanya. 

Nur Aini berkata walaupun ungkapan bersahaja itu ringkas namun ia cukup meruntun jiwa seorang ibu sepertinya malah lebih memilukan, anak bongsunya masih mengulang persoalan yang sukar dijawab.

“Dia selalu cakap ‘kenapa lori langgar ayah'... itu yang saya tak tahu nak jawab macam mana namun saya berusaha memastikan anak-anak tidak terus larut dalam kesedihan,” katanya.

Bagi memastikan anak-anak tidak melupakan ayah mereka, Nur Aini sering berkongsi cerita tentang kebaikan arwah.

“Hari-hari saya cerita ayah mereka macam mana, apa yang ayah mereka buat sebab saya tak nak mereka lupa selain menjadikan rutin menziarahi kubur sebagai cara mendekatkan diri dengan memori arwah.

“Setiap minggu, saya akan pergi dan kebiasaannya pada hari Isnin lepas hantar anak ke sekolah, saya ambil masa sikit untuk ‘jumpa’ dia,” katanya.

Menjelang Syawal yang bakal tiba, walaupun tanpa rasa teruja seperti dahulu, Nur Aini akan tetap memastikan tiga permata mereka merasai kemeriahan Aidilfitri seadanya.

Nahas itu menyaksikan sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak yang mereka naiki dirempuh lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535858