KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Pengguna jalan raya digesa untuk mengamalkan konsep “Vision Zero” atau pendekatan yang menegaskan bahawa semua kemalangan jalan raya boleh dicegah dan tiada kehilangan nyawa di jalan raya, kata Pengerusi Alliance for a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata peningkatan kemalangan jalan raya serta kadar kematian semasa musim perayaan, khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri, terus menjadi isu berulang yang perlu ditangani dengan serius.
Lee berkata puluhan ribu kemalangan direkodkan dalam tempoh seminggu perjalanan musim perayaan setiap tahun, dengan angka melebihi 20,000 kes serta mengakibatkan ratusan kematian dicatatkan di seluruh negara.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi melibatkan kehilangan bapa, ibu, anak-anak dan rakan-rakan yang nyawa mereka terkorban. Perkara ini mesti dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata keselamatan tidak boleh dianggap sebagai pilihan, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama semua pengguna jalan raya.
Beliau juga menggesa pemandu untuk merancang perjalanan lebih awal, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mengelakkan memandu laju serta mendapatkan rehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.
Selain itu, beliau menekankan untuk tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, mengelakkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu serta memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar dan kanak-kanak dipasang dengan alat keselamatan yang bersesuaian.
“Keselamatan bukan berlaku secara kebetulan. Ia adalah pilihan yang kita buat setiap kali kita memegang stereng. Sempena Hari Raya ini, marilah kita memilih kehidupan, tanggungjawab dan keprihatinan untuk diri kita dan juga orang lain,” katanya.
Lee berkata untuk mencapai musim perayaan tanpa kemalangan bukan sahaja memerlukan penguatkuasaan, tetapi juga perubahan minda, dengan kerjasama daripada agensi kerajaan, badan penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam.
-- BERNAMA