JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Pemancing Hanyut 11 Jam Selepas Enjin Bot Rosak

17/03/2026 04:18 PM

CHUKAI, 17 Mac (Bernama) -- Dua pemancing berhadapan detik cemas apabila hanyut hampir 11 jam akibat kerosakan enjin bot sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kemaman dekat sini pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata Abdul Hafiz Imran Abd Latif, 39, dari Dungun dan Ahmad Arif Tajudin Rosli, 29, dari Paka ke laut untuk memancing sebelum bot mereka mengalami kerosakan kipas enjin pada 4 petang semalam.

“Keadaan itu menyebabkan bot tidak dapat bergerak dan hanyut dibawa arus. Mangsa hanya mendapat liputan talian telefon pada 9 malam dan menghubungi ahli keluarga untuk memaklumkan situasi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Abdul Halim berkata pihaknya dimaklumkan kejadian pada 12.30 tengah malam dan menggerakkan aset APMM ke lokasi pada 1.18 pagi sebelum berjaya menemukan mangsa dalam keadaan selamat pada 3 pagi.

Beliau berkata operasi pencarian mengambil sedikit masa berikutan kedudukan bot mangsa telah berubah dari lokasi yang dilaporkan akibat arus laut.

“APMM menasihatkan komuniti nelayan dan pemancing sentiasa memastikan bot dalam keadaan baik, membawa peralatan keselamatan mencukupi dan memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535340