JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Rampas Tujuh Tan Minyak Sawit Mentah Di Perairan Sandakan

16/03/2026 08:35 PM

SANDAKAN, 16 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas sebuah bot membawa muatan kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah di perairan Sandakan semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata pihaknya yang melaksanakan operasi Op Khas Pagar Laut mengesan bot terbabit di kedudukan 0.5 batu nautika barat laut Ulu Sibuga pada 12.30 tengah malam.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu yang berada di lokasi melarikan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran. 

"Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah yang disyaki tanpa permit atau kebenaran sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582), Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen Sabah) 2008.

Antara kesalahan ialah muatan minyak sawit mentah tanpa kebenaran Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah. 

Muhamad Suhairy meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah menyalurkan ke Pusat Operasi Maritim Sandakan melalui talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535078