JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Kereta Rosak Teruk Dihempap Pokok Di George Town

15/03/2026 02:43 PM

GEORGE TOWN, 15 Mac (Bernama) -- Dua kereta mengalami kerosakan teruk selepas dihempap sebatang pokok yang tumbang dipercayai akibat hujan lebat dan angin kencang di Jalan Kota Emas, Lorong Seremban di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.21 pagi mengenai insiden pokok tumbang di jalan raya sebelum menghempap dua kenderaan yang diparkir di bahu jalan.

Beliau berkata sebaik tiba, komander operasi membuat penilaian awal di lokasi dengan memakai peralatan perlindungan diri lengkap sebelum menjalankan kerja pemotongan pokok menggunakan peralatan khas kebombaan.

“Tindakan itu bagi mengalihkan halangan di atas jalan raya dan memastikan kawasan berada dalam keadaan selamat... tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut manakala maklumat pemilik kedua-dua kenderaan masih belum dapat dikenal pasti," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi yang turut mendapat bantuan Majlis Bandaraya Pulau Pinang itu tamat sepenuhnya pada 9.15 pagi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534629