AM

 276 Pegawai, Anggota APM Terbabit Op Prihatin Zon Selatan

17/03/2026 03:41 PM

MELAKA, 17 Mac (Bernama) -- Sebanyak 276 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Zon Selatan membabitkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, akan terlibat dalam Op Prihatin sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam Ghazali Abd Rahman berkata Op Prihatin berkenaan dilaksanakan bagi membantu agensi keselamatan lain terutama dalam memberi bantuan awal kepada pengguna jalan raya yang memerlukan pertolongan.

"Rondaan akan dilaksanakan oleh pegawai dan anggota bertugas menggunakan kenderaan bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam selama 10 hari bermula dari 19 hingga 29 Mac sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

"Op Prihatin juga tidak hanya fokus pada rondaan di jalan utama persekutuan dan negeri, tetapi juga di laluan dan lokasi panas yang dikenal pasti akan menjadi tumpuan ramai," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan Op Prihatin APM Peringkat Zon Selatan sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Petronas Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (Lebuh SPA) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan Mohd Zaki Mahat.

Antara perkhidmatan disediakan APM pada Op Prihatin kali ini membabitkan bantuan kemalangan jalan raya, khidmat kemanusiaan mengendalikan halangan di jalan, pembaikan kecil kerosakan kenderaan dan khidmat nasihat mengenai langkah perawatan dan ilmu pertahanan awam kepada komuniti.

APM turut melancarkan QR Code Info Prihatin APM sebagai panduan kepada pengguna tentang kaedah penyelamatan yang boleh dipraktikkan dalam berhadapan kecemasan sekiranya berlaku. 

Antara maklumat Op Prihatin yang terdapat dalam QR Code berkenaan ialah kaedah merawat luka dan pendarahan, tercekik dan teknik resusitasi kardiopulmonari (CPR), kaedah perawatan akibat terbakar dan melecur, kaedah rawatan kecederaan tulang (kepatahan), keracunan, pengsan, terkena renjatan dan juga lain-lain panduan keselamatan dan bencana.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535325