JENAYAH & MAHKAMAH

Enam Individu Selamat Kereta Dihempap Pokok Tumbang

06/03/2026 09:50 PM

IPOH, 6 Mac (Bernama) -- Enam individu terselamat selepas kenderaan mereka dihempap dua pokok tumbang di Taman Bersatu dekat Simpang Pulai, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 4.43 petang.

“Pokok menghempap Proton Saga, Proton Persona serta Volkswagen Passat menyebabkan semua mangsa tidak dapat keluar dari kenderaan kerana dihalang oleh dahan dan ranting. 

“Bagaimanapun, mereka dikeluarkan oleh orang awam dan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sabarodzi berkata empat wanita berusia 20-an menaiki Proton Persona manakala dua lagi kenderaan dipandu lelaki 50-an.

Hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa kawasan di Ipoh hampir sejam bermula kira-kira 4 petang dan difahamkan turut merosakkan khemah bazar Ramadan di Sentra Mall di sini.

Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta dalam kenyataan memaklumkan menerima 19 kes pokok tumbang di sekitar daerah Kinta setakat ini dengan jumlah itu dijangka meningkat. 

“Angin kencang berterusan lebih sejam menyebabkan banyak pokok tumbang antaranya di Taman Cempaka, Gunung Rapat, Chemor, Taman Perak, Taman Desa Tambun, Taman Klebang Putra dan Taman Bersatu di Simpang Pulai,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, tiada rumah dilaporkan terjejas setakat ini. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531262