KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Masjid Wilayah Persekutuan di sini mengadakan inisiatif khas iaitu “Barakah Pit Stop” bagi menyediakan kemudahan persinggahan kepada penunggang motosikal dan pemandu p-hailing untuk berehat seketika.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata melalui inisiatif itu, kemudahan mengecas telefon selain makanan dan minuman percuma ketika Ramadan disediakan kepada golongan berkenaan.
“Saya memahami jerih payah mereka kerana suatu ketika dahulu saya juga pernah bermotosikal pergi kerja. Sebab itu, masjid dilihat tempat terbaik untuk mereka singgah, rehatkan badan, tenangkan jiwa, dekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Pesekutuan (MAIWP), pengurusan Masjid Wilayah Persekutuan serta Pertubuhan Kebajikan Prihatin Insan Kuala Lumpur dan Selangor (Pekerti) atas komitmen menjayakan inisiatif berkenaan.
Zulkifli berkata MAIWP turut menyerahkan cek berjumlah RM105,000 kepada Pekerti untuk menjayakan program itu bagi memastikan manfaat zakat sampai terus kepada golongan memerlukan.
“Insya-Allah, usaha ini akan diperluas ke masjid-masjid lain agar lebih ramai singgah ke rumah Allah dan meraih keberkatan,” katanya.
-- BERNAMA