SHAH ALAM, 12 Mac (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memperluas peluang pendidikan kepada pelajar daripada keluarga asnaf di negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari berkata kerjasama itu memberi ruang kepada pihaknya dan MARA untuk mengenal pasti pelajar asnaf berpotensi serta menyediakan bantuan pendidikan agar mereka dapat meneruskan pengajian dalam persekitaran yang lebih kondusif.
“Inisiatif selama lima tahun itu meliputi usaha membantu persediaan pelajar asnaf cemerlang memasuki Maktab Rendah Sains MARA di seluruh negara.
“Kerjasama ini menjadi langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan pendidikan anak-anak asnaf melalui sokongan institusi yang berpengalaman,” katanya ketika berucap dalam Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan 2026 (IMTIYAZ) di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata usaha itu juga merangkumi penyediaan kelas tambahan bagi subjek kritikal bertujuan meningkatkan tahap pencapaian akademik pelajar yang terlibat.
Mohd Khaidzir berkata secara purata 23 pelajar asnaf berjaya mendapat tempat di MRSM di bawah tajaan Zakat Selangor setiap tahun sejak 2023, sekali gus melayakkan 129 pelajar menerima tajaan pendidikan di sekolah berkenaan.
Beliau juga berpendapat kerjasama antara pihaknya dengan MARA berpotensi membuka laluan kepada pelajar asnaf melanjutkan pengajian ke peringkat tertiari khususnya dalam bidang teknikal dan profesional.
“MARA mempunyai kepakaran luas dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mampu membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor industri.
“Selain pendidikan anak-anak asnaf, kerjasama ini turut merangkumi pelaksanaan latihan kemahiran dan program keusahawanan kepada ibu bapa bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga,” katanya.
Terdahulu, pertukaran dokumen MoU itu disempurnakan secara simbolik antara Mohd Khaidzir mewakili Zakat Selangor dan Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi MARA Siti Aminah Abdul Kadir.
Pada majlis itu, 38 syarikat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM8.22 juta kepada Zakat Selangor, selain agihan bantuan zakat berjumlah RM221,320 melibatkan baik pulih surau, bantuan perubatan dialisis, modal keusahawanan dan dermasiswa pengajian institusi pendidikan tinggi.
-- BERNAMA