KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM75,000 bagi membantu 250 asnaf dari seluruh Wilayah Persekutuan membuat persiapan sempena Aidilfitri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata bantuan menerusi program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP: Shopping Pakaian dan Keperluan Raya Asnaf Tahun 2026M/1447H itu, diberikan kepada masing-masing 100 penerima dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan serta 50 penerima dari Putrajaya.
“Alhamdulillah, inisiatif sebegini amat diperlukan dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan ummah terutamanya kepada golongan asnaf dan penerima bantuan MAIWP di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam ucapan sempena program tersebut di sini hari ini.
Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi MAIWP Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya, Pengarah dan Ketua Pentadbiran Perniagaan AEON Big Malaysia Takanori Komatsu serta 100 penerima daripada 18 keluarga dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Zulkifli juga merakamkan penghargaan kepada semua pembayar zakat yang telah menyumbangkan zakat menerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP.
Beliau berkata melalui program itu, setiap penerima mendapat sumbangan RM300 untuk membeli keperluan hari raya seperti pakaian, kasut, dan barangan dapur lain.
Ibu tunggal kepada tujuh anak, Norhayati Malek, 42, meluahkan rasa syukur dan gembira atas bantuan yang diberikan.
“Pada awalnya, saya dan keluarga tidak berhasrat untuk membeli apa-apa pada hari raya ini kerana ingin berjimat memandangkan saya baru kehilangan suami pada pertengahan Februari lepas.
“Jadi, bila MAIWP pilih kami sebagai penerima memang sangat gembira terutamanya anak-anak sebab berpeluang untuk keluar berjalan-jalan membeli baju raya. Saya sangat berterima kasih kepada MAIWP,” katanya ketika ditemui Bernama.
Sementara itu, Nur Syazila Muhammad, 10, turut menyatakan keterujaan untuk menyambut raya tahun ini bersama keluarga.
“Saya rasa gembira kerana dapat beli baju dan kasut raya bersama keluarga. Saya juga dapat duit raya RM50, saya nak simpan sikit dan buat belanja sekolah,” katanya.
-- BERNAMA