RENCANA

Pendidikan Tidak Formal Bantu Belia Miliki Masa Depan Lebih Baik

17/03/2026 12:45 PM
Daripada Nursyabiha Sukri

Keciciran murid masih menjadi antara masalah utama dalam sistem pendidikan negara ini dengan faktor sosioekonomi seperti kemiskinan sebagai antara punca sesetengah murid tidak dapat meneruskan persekolahan hingga sekurang-kurangnya peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 Isu ini membimbangkan kerana murid yang tercicir daripada pendidikan berisiko meneruskan kitaran kemiskinan keluarga selain terdedah kepada pelbagai lagi isu sosial termasuk jenayah.

Dalam menangani dan membantu mereka agar tidak terus terpinggir, pendidikan tidak formal dilihat antara jawapan tepat bagi permasalahan tersebut, dan dewasa ini pelbagai inisiatif komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan tampil menyediakan program latihan kemahiran, bengkel pembangunan sahsiah serta kursus keusahawanan secara percuma atau kos minimum. 

ADAB Youth Garage (AYG) antara yang menawarkan program pembangunan belia  menerusi pembelajaran tidak formal serta sokongan moral kepada golongan muda yang tercicir, khususnya dari kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan petempatan didominasi B40. 

Muhammad Ammar Hasimi , 25 dan Mohamad Daniel Haikal Faizul Hazreen, 23, antara anak muda yang dibantu organisasi ini.

 

AMMAR BUKTIKAN PELUANG KEDUA MAMPU UBAH NASIB

Bertengkar dengan ibu, Muhammad Ammar mengambil keputusan nekad lari dari rumah pada usia 16 tahun tanpa memikirkan natijah tindakan itu yang disangkanya jalan keluar terbaik.    

Hanya bersekolah setakat tingkatan empat, anak keenam daripada tujuh beradik ini hidup terumbang-ambing selepas meninggalkan keluarga. Tanpa SPM, tidak banyak peluang pekerjaan untuknya.


Muhammad Ammar Hasimi, 25, menguruskan kedai gunting rambut ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

 “Saya lari dari rumah sebab ibu marah saya ikut kawan-kawan berlumba motosikal. Sikap memberontak itu membuatkan saya bertindak tanpa berfikir panjang. Saya pula tidak minat belajar dan berhenti sekolah sebelum mencari kerja di Kelana Jaya, Selangor. Saya masih ingat, ketika itu minggu kedua bulan puasa,” kongsinya.

Dia yang membesar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor mengakui pada ketika itu dia kerap memberontak dan inginkan kebebasan.

“Setelah meninggalkan keluarga, rasa hidup susah. Dari situ timbul penyesalan namun saya enggan pulang ke rumah,” katanya yang mengakui berasa sedih kerana menempuh Ramadan bersendirian ketika rakan-rakan seusia yang lain berbuka puasa bersama-sama dengan keluarga.

Bagaimanapun dia bernasib baik - mungkin berkat doa ibunya - kerana sepanjang hidup bersendirian dia terhindar daripada pengaruh buruk.

“Beberapa bulan selepas lari dari rumah, saya bertemu dengan sebuah keluarga yang mengambil saya bekerja di kedai kasut mereka di Kelana Jaya. Saya juga diajak tinggal bersama-sama mereka, malah dilayan umpama ahli keluarga sendiri,” katanya yang amat bersyukur bertemu dengan “orang baik-baik” sepanjang tempoh dia mencari hala tuju kehidupannya.

 

BINA KEMAHIRAN SEBAGAI TUKANG GUNTING RAMBUT 

Selepas hampir setahun bekerja dan tinggal dengan keluarga itu, Muhammad Ammar ke pusat AYG yang beroperasi di PPR Kota Damansara.

“Saya sertai AYG ni semasa berumur 15 tahun. Ibu saya yang suruh saya sertai AYG sebab saya tidak minat belajar, tapi cuma sekejap saja. Selepas itu saya kembali memberontak dan lari dari rumah.

“Namun, dalam tempoh hidup sendirian, saya mula berfikir tentang masa depan, menyebabkan saya kembali ke AYG. Mereka tahu saya pandai gunting rambut, lalu mereka hantar saya jalani kursus singkat dalam bidang itu dan kemudian beri kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan AYG Barbershop,” katanya, menambah dia menguruskan kedai gunting rambut itu sejak 2018. 

Di sebalik kesibukan menguruskan kedai gunting di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi itu, anak muda ini tetap meluangkan masa meningkatkan pengetahuan tentang selok-belok perniagaan.

“Pusat AYG bukan sekadar tempat mempelajari kemahiran teknikal tetapi ruang perlindungan dan sokongan buat kami. Di sini  saya belajar tentang disiplin, tanggungjawab dan erti peluang kedua. Ia ibarat rumah kedua yang membentuk siapa diri saya hari ini,” katanya.

 

PERJALANAN MATANG SEORANG ANAK SULUNG

Bagi Mohamad Daniel Haikal pula, sebagai anak sulung daripada empat beradik dan membesar di PPR Taman Medan, Petaling Jaya, cabaran hidup memaksanya menjadi matang lebih awal.

Kekangan kewangan dengan bapanya bekerja sebagai pemandu lori sebelum mengusahakan kedai makan bersama-sama rakan, menyaksikan dia banyak berkorban untuk adik-adik, termasuk kerap ponteng sekolah bagi membantu ibunya menguruskan tiga adik yang masih kecil.


Mohamad Daniel sebagai anak sulung daripada empat beradik dan membesar di PPR Taman Medan, Petaling Jaya, cabaran hidup memaksanya menjadi matang lebih awal.

Malah, sejak dua tahun lalu, anak muda ini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas bapanya meninggal dunia akibat masalah buah pinggang.

Titik perubahan dalam hidupnya berlaku ketika dia berusia 16 tahun apabila “dipertemukan” dengan AYG.

"Pengalaman awal di pusat itu bermula secara tidak dirancang ketika saya berusia 16 tahun. Ketika itu saya sedang bermain futsal di kawasan kejiranan sebelum didekati pekerja belia yang menawarkan saya peluang berlakon dalam produksi pendek AYG. 

"Dari situ, saya mula mengenali pusat AYG dan aktif menyertai program yang dianjurkan. Program di pusat ini bukan sahaja memberikan kemahiran teknikal malah membangunkan kepimpinan dalam kalangan belia," katanya.

 

MEMBANGUNKAN  KOMUNITI MELALUI PROGRAM BELIA 

Kata Mohamad Daniel Haikal lagi, sejak itu dia banyak terlibat dalam aktiviti anjuran AYG yang menyantuni masyarakat setempat bagi menarik golongan belia di kawasan kejiranannya menjalani aktiviti sihat.

Jelasnya, pendekatan itu turut membantunya memahami keperluan komuniti serta merancang program yang memberi manfaat kepada golongan muda.

Pengalaman tersebut katanya menunjukkan bahawa inisiatif digerakkan oleh belia sendiri mampu menjadi pemangkin perubahan, walaupun bermula dengan skala kecil.

"Walaupun kumpulan diuruskan hanya melibatkan dua blok perumahan PPR, program dijalankan mendapat sokongan komuniti dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Sokongan itu membuktikan usaha pembangunan belia mampu memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Penglibatan dalam program komuniti tersebut turut membentuk kesedaran bahawa pembangunan belia bukan sekadar aktiviti, tetapi usaha membina hubungan sosial dan memperkukuh jaringan sokongan dalam masyarakat.

 

PEMBELAJARAN KENDIRI MEMBUKA JALAN 

Selepas tamat SPM, Mohamad Daniel Haikal melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang sains komputer. Namun terpaksa berhenti separuh jalan akibat kekangan kewangan. Dia  kemudian melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara diri dan membantu keluarga.

Kepandaiannya dalam bidang grafik membuka peluang kedua untuknya apabila AYG menawarkan dia menjadi “pekerja belia” dengan peranan sebagai pereka grafik sejak dua tahun lalu.


Usaha pertama yang dilaksanakan di pusat AYG di Kota Damansara pada 2022 adalah mengajar anak-anak di PPR kawasan itu membaca. Semua kredit gambar laman Facebook AYG.

(Pekerja belia merujuk individu yang menyantuni golongan belia dengan intervensi konstruktif dalam pengaturan informal bagi memberi mereka peluang meneroka potensi diri.)

“Sebenarnya bidang grafik bukan minat utama saya, tetapi saya belajar sendiri melalui Internet untuk meningkatkan kemahiran. Pihak pengurusan pusat ini juga amat menyokong dan kerjaya ini membantu saya meneruskan kehidupan selain membuka peluang baharu.

"Sekiranya saya tidak menyertai AYG, mungkin saya hanya bekerja di kilang dan kemahiran saya tidak berkembang. Pusat ini mengajar belia meneroka perkara baharu tanpa paksaan, dan itu membantu saya menjadi lebih baik,” katanya.

Mohamad Daniel Haikal berkata pengalaman di AYG membuktikan bahawa platform pembangunan belia mampu mengubah potensi menjadi pencapaian, dan pusat itu bukan sekadar tempat aktiviti, tetapi juga ruang untuk belajar, berkembang dan membina wawasan masa depan.

 

ADAB YOUTH GARAGE BINA KEYAKINAN DAN KEMAHIRAN BELIA

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ADAB Youth Garage Muhammad Nizam Samsudin berkata pengalaman hidup dua anak muda tersebut  antara contoh belia yang optimis membuka lembaran baharu, sekali gus membuktikan bahawa tanpa pendidikan tinggi mereka tetap mampu mengubah kehidupan menjadi lebih baik serta berbakti kepada masyarakat.

Beliau berkata AYG ditubuhkan pada 2013 dan bergerak dengan sumbangan dana komuniti setempat yang prihatin, kini mempunyai 16 cawangan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, dibantu oleh 33 pekerja belia AYG yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan.


ADAB Youth Garage (AYG) antara yang menawarkan program pembangunan belia menerusi pembelajaran tidak formal serta sokongan moral kepada golongan muda yang tercicir, khususnya dari kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan petempatan didominasi B40.

Menurutnya, pusat itu menawarkan pendidikan tidak formal menerusi ruang yang selamat, iaitu mempunyai persekitaran tanpa diskriminasi di mana  para belia berkumpul dan berkongsi cerita hidup selain meneroka potensi diri sambil dibantu oleh pekerja belia bertauliah.

"Pembelajaran tidak formal ini datang dalam pelbagai bentuk, termasuk menonton video, ‘study group’, mengambil bahagian dalam forum, sokongan prestasi dan pelbagai lagi kaedah termasuk solat berjemaah, bimbingan iqra’," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Nizam berkata kajian menunjukkan Malaysia mengalami masalah literasi, iaitu membaca, khususnya selepas COVID-19.

Justeru, katanya, usaha pertama yang dilaksanakan di pusat AYG di Kota Damansara pada 2022 adalah mengajar anak-anak di PPR kawasan itu membaca.

"Kami juga memberi komitmen dalam membawa isu, cadangan penyelesaian dan implementasi buat anak muda sebagai satu daripada usaha melengkapkan ekosistem sokongan, terutamanya mereka yang terpinggir dan berada dalam kelompok miskin bandar," jelasnya.

Beliau berkata transformasi yang dilalui Muhammad Ammar dan Mohamad Daniel memperlihatkan bahawa intervensi berorientasikan komuniti mampu menjadi mekanisme sokongan yang efektif bagi belia berisiko, khususnya mereka yang berdepan keciciran pendidikan dan kekangan sosioekonomi.

Dalam usaha negara memperkasa modal insan, pendekatan pendidikan tidak formal yang bersifat inklusif, fleksibel dan berteraskan hubungan sosial wajar terus diperkukuh sebagai pelengkap kepada sistem arus perdana, agar potensi golongan muda tidak terhenti hanya kerana latar belakang atau peluang yang terhad.

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535163