Pada usia 83 tahun, lelaki warga emas ini cuma mengharapkan koleksi setem dan kamera yang dikumpulnya sejak usia belasan tahun akan diwarisi oleh anak-anak ataupun cucunya.
“Kalau tidak, saya akan serahkan koleksi ini kepada muzium atau kelab komuniti untuk tatapan ramai,” kata Wang Foong Seek.
Ditemui Bernama di rumahnya di Pangsapuri Kampung Tiong di sini, Wang begitu teruja bercerita tentang hobinya itu, yang menurutnya sudah menjadi kegiatan “jarang jumpa” dek penangan perkembangan teknologi.
Sambil mengakui aktiviti mengumpul setem kini kian sukar dilakukan, Wang berkata dia tidak hairan jika suatu hari nanti anak muda tidak lagi mengenali setem.
“Sekarang orang sudah jarang hantar surat. Dulu, semasa hari perayaan atau hari lahir, semua orang akan hantar kad melalui pos. Saya amat merindui suasana zaman dulu, namun mujurlah anak saya masih menghantar kad hari lahir setiap tahun, lengkap dengan setem,” ujarnya tersenyum, dan menambah dia akan simpan setem tersebut bersama-sama dengan koleksinya.
NILAI SEJARAH SETEM
Memulakan hobi mengumpul setem ketika berusia 15 tahun, Wang berkata hingga kini dia mempunyai lebih 1,000 keping dalam koleksinya.
“Yang paling saya hargai ialah setem kemerdekaan negara yang dikeluarkan pada 1957. Setem ini saya beli di pejabat pos pada tahun itu dan dijaga rapi sampai sekarang,” katanya, menambah ketika remaja, dia menghabiskan waktu petang dengan berjalan kaki dari satu bangunan pejabat ke pejabat lain di sekitar bandar Kuala Terengganu bagi mengutip sampul-sampul surat bersetem dari dalam tong sampah.
“Setem-setem itu saya gunting dan simpan di dalam album. Selain itu, saya juga bertukar-tukar setem dengan rakan-rakan dari negeri lain seperti Kuala Lumpur dan Sarawak yang mempunyai minat sama. Saya beri setem Terengganu dan mereka pula beri setem negeri masing-masing,” katanya
Melihat setem lebih daripada sekadar bukti pengeposan, Wang berkata setem mempunyai nilai sejarah tersendiri dan perlu dipelihara walaupun kini dunia sudah beralih kepada sistem digital.
“Contohnya, setem yang merakam sejarah kemerdekaan negara tersebut. Saya amat sayangkan setem itu kerana merupakan antara setem terawal negara kita.
“Setiap kali melihat setem itu, saya teringat kenangan zaman remaja saya selain menimbulkan rasa bangga kerana dalam simpanan saya ada secebis sejarah negara.
“Saya juga ada setem peribadi potret saya dan isteri. Dulu (1980), pejabat pos ada program yang bolehkan setem dicetak dengan gambar sendiri, jadi saya ambil peluang itu hasilkan beberapa keping setem peribadi termasuk gambar saya dan isteri untuk dijadikan kenangan,” katanya yang kematian isteri Aw Siew Wong kira-kira 12 tahun lalu.
Selain setem tempatan, dia juga mengumpul setem luar negara seperti China yang dibeli ketika berkunjung ke negara itu kira-kira 20 tahun lepas.
KOLEKSI KAMERA
Mengusahakan kedai gambar sebagai sumber rezeki untuk membesarkan tiga anaknya, dia kini yang telah bersara bagaimanapun masih aktif mengambil gambar. Justeru, tidak menghairankan jika warga emas ini memiliki lebih 150 kamera pelbagai jenis dan jenama termasuk kamera filem ikonik Rolleiflex buatan Jerman.
“Saya kumpul kamera yang dikeluarkan pada era 1950-an hingga sekarang, termasuk yang guna filem dan polaroid serta digital. Kebanyakannya saya beli sendiri,” jelasnya.
“Saya juga pernah memiliki kamera antik keluaran Braunschweig dari Jerman yang berusia lebih 100 tahun, namun telah dijual selepas menerima tawaran harga tinggi,” katanya.
Menurut Wang lagi, kebanyakan kamera dalam koleksinya masih berfungsi dengan baik, namun terdapat sebahagiannya yang mengalami kerosakan tidak dapat dibaiki kerana kesukaran mendapatkan alat ganti.
Mengakui dia turut “melepaskan” beberapa buah kamera lain bagi menampung keperluan hidup, Wang berkata tawaran paling tinggi pernah diterimanya ialah untuk kamera jenama Leica yang dijual pada harga RM10,000.
Meskipun begitu, Wang berkata dia tidak akan sekali-kali menjual sebuah kamera filem jenis Yashica yang dibelinya pada 1960.
Menggunakan kamera itu sebagai sumber rezeki, merakam pemandangan dan juga pelancong di sekitar bandar Kuala Terengganu, dia berkata peranti tersebut mempunyai nilai sentimental yang tinggi.
“Kamera Yashica ini menemani saya mencari rezeki dan merakam banyak detik penting kehidupan. Nilainya tidak boleh diganti dengan wang dan saya tidak akan sesekali menjual kamera tersebut walaupun ditawarkan dengan harga tinggi oleh pembeli.
“Bagi saya, kamera itu tidak ternilai dengan wang ringgit. Sekiranya anak-anak tidak mahu menyimpan koleksi kamera saya, biarlah kamera Yashica itu ditanam bersama-sama dengan saya apabila saya meninggal dunia nanti,” katanya yang mempunyai lima orang cucu.
SETIA DENGAN KAMERA FILEM
Mengulas perbezaan menggunakan kamera filem dan digital, Wang yang berkecimpung dalam dunia fotografi selama lebih 66 tahun, berpendapat kamera lama mempunyai jiwa dan nilai tersendiri yang tidak dapat digantikan oleh teknologi moden.
“Bila kita proses sendiri gambar sehingga terhasil imej pada kertas, lahir satu kepuasan tersendiri kerana proses itu mengajar kita tentang kesabaran dan ketelitian, membuatkan kita lebih menghargai memori yang dirakam.
“Zaman dulu, satu gambar boleh disimpan puluhan tahun dan menjadi sebahagian daripada sejarah tetapi kini banyak gambar hanya tersimpan sekejap saja dalam telefon,” katanya.
Selain itu, kamera filem menuntut jurugambar memahami pencahayaan, komposisi dan masa yang tepat kerana setiap gambar tidak boleh diambil sesuka hati bagi mengelakkan pembaziran filem.
“Justeru, secanggih manapun kamera digital pada masa sekarang, tiada yang dapat menandingi kepuasan mengambil gambar menggunakan kamera filem dan mencetaknya sendiri,” tegasnya.