AM

Ziarah MADANI Ihya Ramadan Sungai Buloh Perkukuh Semangat Perpaduan

15/03/2026 10:43 AM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum terus diperkukuh menerusi penganjuran program Ziarah MADANI Ihya Ramadan di Parlimen Sungai Buloh yang menghimpunkan lebih 3,000 penduduk setempat daripada pelbagai latar belakang.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata program itu bukan sekadar platform menyantuni masyarakat sempena Ramadan, malah mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi teras kepada gagasan Malaysia MADANI.

“Saya memang yakin program ini akan berjaya tetapi tidak sangka sambutannya begitu luar biasa,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Kota Damansara di sini hari ini.

Beliau berkata keharmonian yang dinikmati rakyat Malaysia selama ini perlu terus dipelihara meskipun terdapat segelintir pihak yang cuba menimbulkan kebencian melalui media sosial.

Dalam pada itu, Ramanan turut menekankan kepentingan langkah penjimatan sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau mengambil contoh pendekatan Thailand yang telah melaksanakan beberapa langkah penjimatan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan cabaran ekonomi termasuk menggalakkan penggunaan tangga di pejabat awam serta menaikkan suhu penyaman udara kepada sekitar 26 darjah Celsius bagi menjimatkan elektrik.

“Langkah penjimatan ini perlu kita mulakan. Jika kerajaan sendiri tidak melaksanakannya, sukar untuk rakyat mengikuti contoh tersebut,” katanya. 

Beliau turut menarik perhatian terhadap isu pembaziran makanan yang mencecah kira-kira 12,000 metrik tan sebulan, terutama ketika musim perayaan dan menggesa masyarakat supaya lebih berhemat dalam berbelanja.

Terdahulu pada majlis itu, Ramanan menyantuni komuniti setempat dengan mengagih bubur lambuk serta menyampaikan 1,000 Bakul MADANI mengandungi barangan keperluan asas kepada keluarga memerlukan.

Selain itu, sumbangan berjumlah RM20,000 turut disampaikan kepada tiga rumah anak yatim dan sebuah pusat tahfiz sebagai sebahagian komitmen berterusan HRD Corp dalam membantu golongan memerlukan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534574