AM

Kebakaran: Pusat Khidmat ADUN Kepayang Salur Bantuan RM3,000 Kepada Dua Keluarga Terjejas

14/03/2026 04:33 PM

IPOH, 14 Mac (Bernama) -- Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang menyalurkan bantuan sebanyak RM3,000 kepada dua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampung Kepayang, Fair Park, di sini, baru-baru ini.

Wakil kepada Pusat Khidmat ADUN Kepayang, Wong Kar Keat yang juga setiausaha politik kepada Nga Kor Ming selaku ADUN Kepayang merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyerahkan bantuan tersebut kepada dua keluarga terbabit.

Wong berkata insiden itu mengakibatkan dua rumah jenis papan dan batu musnah teruk, selain ahli keluarga hilang tempat berteduh dengan sekelip mata, namun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

“Pada petang hari kejadian, saya menerima panggilan daripada ketua kampung yang memaklumkan tentang kebakaran serius sedang berlaku di kampung tersebut. 

“Saya segera bergegas ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan serta berbincang dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi menyediakan tempat penginapan sementara serta bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wong berkata Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) turut turun padang ke lokasi kejadian dan menyalurkan bantuan kepada mangsa. 

Beliau berkata walaupun jumlah bantuan yang diberikan tidak dapat menampung sepenuhnya kerugian yang dialami, namun sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan beban mangsa serta memberi sedikit kelegaan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Ini juga membuktikan bahawa Pusat Khidmat ADUN, pihak swasta serta agensi berkaitan sentiasa bersama rakyat, khususnya ketika mereka berdepan saat-saat sukar, dengan menyalurkan bantuan dan sokongan sewajarnya,” katanya.

Selasa lepas, media melaporkan tujuh kenderaan musnah dalam kebakaran yang melibatkan dua buah rumah berkembar di Kampung Kepayang, Fair Park.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534411