AM

Nasihat Agong Dan Tunku Mahkota Ismail Jadi Pegangan Onn Hafiz Tadbir Johor

14/03/2026 04:41 PM

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 14 Mac (Bernama) -- Nasihat dan bimbingan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail sentiasa menjadi panduan penting buat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menerajui pentadbiran negeri sepanjang empat tahun lepas.

Onn Hafiz, 47, berkata tunjuk ajar, panduan dan pengalaman daripada Sultan Ibrahim yang juga Sultan Johor serta Tunku Mahkota Ismail banyak menjadi “kompas” untuknya mencari arah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua pentadbiran negeri sejak dilantik pada Mac 2022. 

Beliau berkata antara pesanan yang paling diingati ialah titah Sultan Johor ketika beliau mula-mula dilantik sebagai Menteri Besar empat tahun lepas.

“Datuk, bila jadi pemimpin ini, letak diri awak rendah sedikit daripada rumput. Jangan menyombong, jangan bongkak, jangan angkuh kerana datuk memimpin untuk berkhidmat kepada rakyat, jadi pembawakan itu sangat penting,” katanya mengimbau titah nasihat itu.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana, kediaman rasmi bagi Menteri Besar Johor di sini baru-baru ini. 

Onn Hafiz berkata kata-kata itu sentiasa tersemat dalam ingatannya dan menjadi peringatan berterusan agar beliau kekal merendah diri serta amanah dalam memikul tanggungjawab memimpin negeri.

Pada masa sama, beliau berkata Pemangku Sultan Johor juga sering menasihatinya supaya tidak melupakan jati diri Bangsa Johor walaupun negeri ini terus membangun.

“Datuk, kalau kita nak bangunkan Johor, jangan sekali-kali kita lupakan diri kita. Kita tidak boleh lupa siapa kita sebagai rakyat Johor. Bangunkan negeri, bangunkan negara tetapi pada masa sama jangan lupa siapa diri kita sebagai satu bangsa,” katanya mengimbau titah itu.

Onn Hafiz berkata beliau turut bertemu Pemangku Sultan Johor beberapa kali seminggu bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan pentadbiran negeri termasuk kebajikan rakyat, ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata sokongan dan nasihat daripada Istana Johor menjadi pemangkin semangat untuk beliau terus bekerja demi rakyat.

“Saya sangat menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Pemangku Sultan Johor yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya,” katanya.

Onn Hafiz ketika ditanya sejauh mana baginda berdua membantunya sepanjang empat tahun mentadbir negeri mengakui sokongan yang diberikan amat besar.

“Mereka banyak membantu saya, banyak sangat. Bantuan dan nasihat daripada Tuanku Sultan Johor serta Pemangku Sultan Johor terlalu banyak,” katanya.

Beliau berkata peranan institusi Istana Johor dalam pentadbiran negeri bukan perkara baharu, sebaliknya telah menjadi tradisi sejak dahulu.

“Saya yakin sejak Menteri Besar Johor yang pertama lagi, memang begitulah caranya di Johor. Istana Johor memainkan peranan penting dalam pentadbiran negeri,” katanya.

Onn Hafiz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac 2022 di Istana Bukit Serene di sini pada usia 44 tahun, menggantikan Datuk Hasni Mohammad. 

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534392