DUNIA

Thailand Runding Sumber Minyak Alternatif Susulan Konflik Asia Barat

13/03/2026 06:00 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 13 Mac (Bernama) -- Thailand sedang mempergiat rundingan untuk mendapatkan bekalan minyak tambahan daripada sumber di luar wilayah Teluk bagi mengimbangi sebarang potensi kekurangan bekalan susulan ketegangan yang berterusan di Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan, Phiphat Ratchakitprakarn berkata Thailand pada masa ini mempunyai rizab minyak yang mencukupi untuk penggunaan selama kira-kira 98 hari.

Beliau berkata Kementerian Tenaga melaporkan bahawa penggunaan minyak di negara itu dalam tempoh dua hari lepas telah kembali ke tahap yang hampir normal.

  "Perbincangan sedang dijalankan untuk mendapatkan sumber tenaga alternatif tambahan, mengurangkan kesan terhadap harga bahan api dan mempromosikan langkah-langkah pemuliharaan tenaga," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran dan Pemantauan Situasi Pertempuran di Timur Tengah (CABM) pada Jumaat.  

Phiphat berkata Jabatan Perniagaan Tenaga, bersama pejabat tenaga wilayah di seluruh negara, telah memeriksa rizab minyak di kesemua 122 kemudahan penyimpanan di seluruh Thailand bagi memastikan bekalan mencukupi.

Beliau juga berkata kempen kesedaran awam akan dilancarkan, manakala agensi kerajaan dan sektor swasta akan menyelaraskan kerjasama erat untuk menguruskan situasi tenaga.

Selain usaha mengamankan bekalan minyak, Phiphat berkata kerajaan sedang memantau harga diesel selaras dengan arahan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.

Beliau berkata , harga diesel akan kekal dihadkan sehingga 16 Mac, sebelum ia disemak semula selepas tarikh berkenaan.

Sementara itu, Phiphat berkata Kementerian Perdagangan telah melaporkan situasi mengenai harga produk dan keadaan perdagangan, serta penilaiannya terhadap trend inflasi yang berpunca daripada konflik berkenaan.

“Kementerian telah menggariskan langkah-langkah untuk menangani kesan ekonomi secara langsung, tidak langsung dan struktur. Ini termasuk menubuhkan ‘bilik gerakan’ untuk memantau situasi dengan rapi dan mengarahkan pejabat perdagangan wilayah di seluruh negara untuk memeriksa harga barangan yang berkaitan dengan kos tenaga,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534091