PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan bahawa sesi libat urus (SLU) bersama pihak berkepentingan tadika swasta zon utara yang berlangsung semalam diadakan di sebuah gereja seperti yang tular di media sosial.
Kesal dengan dakwaan tidak berasas itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata SLU itu telah dilaksanakan di dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang berdaftar dengan kementerian.
Beliau berkata pemilihan lokasi itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk kemudahan dan fasiliti yang tersedia selain bertujuan mengetengahkan peranan sekolah antarabangsa sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan swasta negara.
"Pemilihan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption juga membuktikan sinergi yang baik antara KPM dan pihak penyedia pendidikan swasta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata dakwaan yang tular itu jelas berniat jahat dan cubaan menimbulkan kekeliruan dan memburukkan imej kementerian.
"Mengambil ibrah bulan Ramadan, KPM menyeru semua pihak untuk meningkatkan amal ibadah dan tidak terjebak dalam perbuatan fitnah," katanya.
-- BERNAMA