KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada dagangan tengah hari Jumaat di bawah paras psikologi 1,700, menjejaki prestasi suram kebanyakan pasaran serantau apabila sentimen terus dijejaskan oleh lonjakan harga minyak, termasuk Brent melebihi US$100 setong.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.60 mata atau 0.67 peratus kepada 1,699.41 berbanding penutupan semalam pada 1,711.01.
Indeks petunjuk utama itu dibuka susut 9.07 mata pada 1,701.94 dan bergerak dalam julat 1,697.83 hingga 1,709.05 pada sesi dagangan pagi.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan 519 kaunter rugi mengatasi 354 kaunter untung manakala 499 kaunter kekal tidak berubah, 1,317 tidak diniagakan dan 18 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.59 bilion unit bernilai RM1.38 bilion.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.48 peratus kepada 25,593.25, Nikkei 225 Jepun turun 1.38 peratus kepada 53,700.91, KOSPI Korea Selatan KOSPI berkurangan 1.98 peratus kepada 5,475.17 manakala Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.07 peratus kepada 4,858.83.
Dalam kenyataan pertama disiarkan menerusi stesen televisyen selepas dilantik menggantikan bapanya, Pemimpin Agung baharu Iran Mojtaba Khamenei semalam mengumumkan Selat Hormuz kekal ditutup sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang mencetuskan peperangan pada 28 Februari lepas.
Berikutan perkembangan itu, harga minyak meningkat yang menyaksikan minyak mentah Brent yang juga penanda aras global naik 0.24 peratus kepada US$100.70 setong pada tengah hari ini.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menyatakan tindakan Iran menutup Selat Hormuz berpotensi memberi manfaat kepada syarikat perkapalan MISC yang boleh mengenakan kadar caj lebih tinggi selain menyalurkan premium risiko perang kepada penyewa kapal.
“Harga minyak yang tinggi juga mencetuskan minat pembelian dalam kaunter perladangan dan petrokimia terpilih,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Selain itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata subsidi bahan api dilaksanakan kerajaan telah meningkat kepada RM2 bilion bagi RON95 manakala diesel naik kepada RM1.2 bilion sebulan berbanding RM700 juta yang keseluruhannya mencecah RM3.2 bilion sebulan.
Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan rakyat mendapat sokongan menerusi pemberian subsidi bersasar RON95 di bawah inisiatif BUDI95 dan pada masa sama mengekalkan harga petrol dan diesel walaupun perbelanjaan subsidi bahan api meningkat.
“Beban ini masih boleh ditanggung oleh kerajaan kerana kita telah melaksanakan banyak pembaharuan dan pemulihan fiskal sepanjang tiga tahun kerajaan MADANI mentadbir dan mempunyai ruang fiskal bagi menanggungnya,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut lapan sen kepada RM11.36, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.78, TNB berkurangan dua sen kepada RM14.20, IHH Healthcare merosot 29 sen kepada RM8.81 manakala CIMB naik satu kepada RM8.
Bagi kaunter paling aktif, Jiankun International turun 20 sen kepada 4.5 sen, VS Industries dan Zetrix AI susut 1.5 sen kepada 29 sen dan 77, Pharmaniaga berkurangan setengah sen kepada 24.5 sen manakala GDB Holdings naik setengah sen kepada 37.5.
Kaunter paling untung didahului Pineapple Resources yang naik 13 sen kepada 73 sen manakala Gas Malaysia, Petronas Chemicals Group dan Kossan Rubber Industries masing-masing naik 11 sen kepada RM5.15, RM4.71 dan RM1.15 selain Petronas Gas menokok 20 sen kepada RM17.60.
Sebaliknya kaunter paling rugi menyaksikan Malayan Cement turun 52 sen kepada RM6.96, Nestle merosot RM1.40 kepada RM102.70, Batu Kawan berkurangan 38 sen kepada RM19.50, Kuala Lumpur Kepong susut 36 sen kepada RM19.42 dan Petronas Dagangan kehilangan 34 sen kepada RM21.60.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Top 100 merosot 73.06 mata kepada 12,273.00, Indeks FBM Emas susut 69.48 mata kepada 12,432.32, Indeks FBM 70 berkurangan 53.51 mata kepada 17,153.01, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 69.48 mata kepada 12,432.32 manakala Indeks FBM ACE turun 11.77 mata kepada 4,390.00.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 207.70 mata kepada 20,439.40, Indeks Perladangan susut 69.56 mata kepada 8,434.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.07 mata kepada 176.11 manakala Indeks Tenaga naik 4.98 mata kepada 800.72.
-- BERNAMA