SINGAPURA, 13 Mac (Bernama) -- Warga asing yang terkandas di Asia Barat antara yang menyertai penerbangan pengungsian kedua oleh pesawat Pengangkut Tangki Pelbagai Peranan (MRRT) A330 Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) yang tiba di sini, pada Jumaat.
Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan selepas menempatkan warga Singapura yang berdaftar dalam penerbangan pengungsian terbaharu dari Jeddah, Arab Saudi, baki tempat duduk ditawarkan kepada warga Australia, Brunei, Indonesia, Filipina, Sri Lanka dan Vietnam.
“Ini adalah atas semangat solidariti, sama seperti negara lain yang telah membantu rakyat Singapura pulang ke tanah air dalam krisis sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kementerian itu menyatakan pesawat MRTT RSAF mendarat di Lapangan Terbang Changi pada 5.59 pagi, membawa 81 warga Singapura, tanggungan mereka dan warga asing.
Penerbangan pengungsian pertama RSAF MRTT yang membawa 218 warga Singapura dan tanggungan mereka dari Riyadh tiba di Singapura pada Rabu.
Sepanjang dua pengerahan MRTT RSAF ke Arab Saudi, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) berjaya membantu 299 rakyat Singapura dan tanggungan mereka pulang dari Asia Barat.
“Mindef dan SAF sentiasa bersedia untuk menjaga keselamatan rakyat Singapura," tambahnya.
-- BERNAMA