SUKAN

Konflik Asia Barat Paksa MSBF Susun Semula Perancangan Kejohanan

13/03/2026 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Konflik yang semakin meruncing di Asia Barat memaksa Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF) menilai semula perancangan penyertaan atlet negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung tahun ini.

Presiden MSBF Melvin Chia berkata beberapa kejohanan yang pada asalnya dirancang di luar negara, termasuk di Arab Saudi, terpaksa ditangguhkan atau diubah susulan situasi konflik di rantau berkenaan.

Beliau berkata perkembangan itu menyebabkan badan induk berkenaan perlu menyusun semula program pertandingan memandangkan tempoh konflik berkenaan masih belum dapat dipastikan.

“Untuk kejohanan tahun ini sebenarnya kita sudah merancang beberapa penyertaan di luar negara, tetapi disebabkan konflik di Asia Barat yang baru bermula, banyak kejohanan yang dijadualkan berlangsung di rantau itu terpaksa ditangguhkan atau diubah.

“Jadi sekarang banyak perancangan terpaksa ditukar kerana situasi itu dan kita juga tak pasti berapa lama keadaan itu akan berlarutan. Disebabkan itu, kita perlu ubah sedikit program yang telah dirancang,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Melvin berkata buat masa ini MSBF akan memberi tumpuan kepada penyertaan atlet negara dalam kejohanan di Asia dan Asia Tenggara.

Sementara itu, beliau berkata MSBF turut memikul cabaran besar menjelang Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia.

Beliau berkata berdasarkan rekod lampau ketika negara menjadi tuan rumah sebelum ini, kem negara gagal meraih sebarang pingat emas dalam acara snuker dan biliard.

“Pada 2001 ketika kita menjadi tuan rumah di Kuala Lumpur dan juga pada edisi 2017, kita tidak mencapai sebarang pingat emas walaupun berjaya meraih lima pingat keseluruhan.

“Jadi setiap kali kita menjadi tuan rumah, cabarannya memang sangat besar kerana atlet kita berdepan tekanan beraksi di laman sendiri,” katanya.

Beliau berkata tekanan tersebut berbeza berbanding ketika atlet bertanding di luar negara kerana mereka perlu beraksi di hadapan keluarga serta rakan-rakan yang hadir memberikan sokongan.

Pada Sukan SEA 2025 di Thailand, kem snuker menghadiahkan dua emas masing-masing dalam acara 6-red snooker individu lelaki menerusi Thor Chuan Leong dan berpasukan lelaki.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533967