Oleh Yasmin Ahmad Zukiman
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bertekad menangani cabaran struktur dalam sektor pertanian menerusi pengoptimuman rantaian bekalan dan pemerkasaan pengeluar makanan sihat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata selain memenuhi keperluan semasa, langkah itu bertujuan memastikan sumber pengeluaran makanan terus terpelihara tanpa menjejaskan kepentingan generasi masa depan melalui amalan pemakanan bijak dan berorientasikan kelestarian.
Bagi mencapai daya tahan sebenar, Mohamad berkata KPKM memberikan tumpuan kepada misi utama yang berteraskan pertanian cekap, produktif dan sistem agromakanan yang mampan.
“Visi ini juga bersifat terangkum dengan transformasi sistem makanan dirangka bagi memberi manfaat signifikan kepada tiga kumpulan utama iaitu pengeluar, pemproses dan pengguna.
“Kita mahu melihat pengeluar makanan tempatan bangga dengan hasil mereka menerusi penerapan amalan pertanian moden, pengurusan sumber air lebih baik dan penggunaan teknologi inovatif yang mampu mengoptimumkan hasil,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohamad berkata visi jangka panjang KPKM ialah mentransformasikan sistem makanan negara menjadi sebuah ekosistem yang lebih cekap, berdaya tahan, mampan dan inklusif menjelang 2030 menerusi Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030).
Menerusi dasar itu, beliau berkata negara kini beralih daripada kaedah konvensional kepada pendekatan yang lebih holistik dengan menghubungkan keterjaminan makanan secara langsung dengan kelestarian alam sekitar, keadilan sosioekonomi dan kesihatan awam.
“Matlamat utama kita ialah menjamin bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat secara berterusan bagi menghadapi sebarang dinamik pasaran global serta kejutan luaran yang tidak menentu,” katanya.
Menyentuh mengenai kerangka Ekonomi MADANI, Mohamad berkata KPKM memberikan keutamaan kepada pembaharuan struktur menyeluruh dan berimpak tinggi bagi mentransformasikan sektor agromakanan daripada berorientasikan pengeluaran tradisional kepada sistem moden, berdaya tahan dan bernilai tinggi.
Beliau berkata KPKM menumpukan kepada peningkatan daya tahan sistem makanan dan mengurangkan kebergantungan import menerusi tiga strategi utama, iaitu mempertingkat pengeluaran, memantapkan keterjaminan bekalan dan memperkukuh rantaian bekalan makanan.
Menerusi strategi mempertingkat pengeluaran makanan, beliau berkata antara dilaksanakan ialah pertanian pintar dan penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) serta meningkatkan intensiti penanaman padi termasuk pelaksanaan penanaman lima musim dalam dua tahun di kawasan sesuai.
Bagi memantapkan keterjaminan bekalan, Mohamad berkata KPKM melindungi Kawasan Sumber Makanan Negara daripada penukaran guna tanah bagi menjamin ketersediaan tanah untuk pertanian jangka panjang selain membangunkan pelan tindakan dan strategi bagi menangani impak perubahan iklim terhadap sektor agromakanan.
KPKM turut menambah baik infrastruktur pemasaran bersepadu, membangunkan repositori harga dan bekalan serta membanteras manipulasi harga melalui penguatkuasaan akta bagi memperkukuh rantaian bekalan makanan.
Mengenai Program Jualan Agro MADANI (JAM), beliau berkata program itu menawarkan barangan runcit, sayur, buah, ayam, telur, daging, hasil laut dan produk industri asas tani pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup.
Sehingga 1 Feb, beliau berkata sebanyak 4,805 program berjaya dilaksanakan di seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM89 juta dengan anggaran 26 juta orang isi rumah mendapat manfaat daripada penganjuran JAM.
Selain membantu pengguna, program itu memberi peluang kepada petani, penternak dan usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka secara langsung dan meningkatkan pendapatan tanpa banyak melibatkan orang tengah.
-- BERNAMA