AM

Gulai Rusa Cicah Roti Benggali, Menu Istimewa Moreh Perdana

13/03/2026 11:00 AM

KEPALA BATAS, 13 Mac (Bernama) -- Kira-kira 1,000 pengunjung Karnival Mahabbah@Bertam Square di sini teruja menikmati hidangan gulai rusa cicah roti Benggali, menu istimewa disajikan penganjur bersempena program Moreh Perdana bersama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang malam tadi.

Penganjur program Zaini Aboo Hassan berkata sebanyak tiga ekor rusa dikorbankan bagi memberi peluang orang ramai menikmati daging rusa yang jarang diperoleh, selain menambah kelainan pada hidangan moreh disediakan kepada pengunjung.

“Setiap tahun kita berusaha mencari idea bagi memberi kelainan kepada pengunjung yang datang membeli persiapan Aidilfitri di sini dan tahun ini, Alhamdulillah kita dapat merealisasikan satu lagi menu unik iaitu hidangan daging rusa masak gulai, dimakan bersama roti Benggali yang mungkin tidak pernah ada di tempat lain.

“Sebenarnya agak sukar untuk mendapatkan haiwan eksotik ini, namun akhirnya kita berjaya memperoleh tiga ekor rusa dari ladang di dua negeri iaitu Kedah dan Kelantan, selain membeli tambahan daging serta tulang rusa kira-kira 50 kilogram bagi mencukupkan hidangan untuk hampir 1,000 pengunjung,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Zaini berkata penyediaan hidangan berkenaan juga bertujuan berkongsi rezeki dengan masyarakat, khususnya golongan yang tidak berpeluang menikmati daging rusa.

Beliau berkata penganjur memilih menu gulai daging rusa bagi membolehkan hidangan berkenaan dinikmati lebih ramai pengunjung berbanding jika dimasak secara panggang atau barbeku memandangkan bekalan daging terhad.

Lebih istimewa, beliau berkata hidangan itu dimasak sendiri oleh 15 kru karnival berkenaan yang mengambil masa selama dua hari bagi proses penyediaan daripada melapah daging hinggalah memasak.

Zaini berkata untuk menu sahur awal pagi nanti pula, pihaknya juga akan menyediakan satu lagi hidangan unik iaitu daging kibas yang dimasak besalmah dan dimakan bersama capati.

Sementara itu, seorang pengunjung Halimaton Ahmad, 50, dari Teluk Kumbar, Balik Pulau menyifatkan kunjungannya ke karnival berkenaan sebagai langkah kanan apabila tidak menyangka berpeluang menikmati hidangan daging rusa.

Halimaton berkata kedatangannya ke karnival itu bersama suami Saharuddin Abdul Ghani, anak dan menantu pada awalnya sekadar mahu mencuci mata serta membeli kelengkapan hari raya.

“Pada mulanya saya ingat kena bayar sebab tengok ramai orang beratur, tapi rupanya diberikan percuma kepada orang ramai.

“Saya pernah makan daging pelanduk sebelum ini tetapi daging rusa rasanya berbeza, lebih lembut dan apabila dimakan bersama roti Benggali memang sangat sedap,” katanya yang pertama kali menikmati  hidangan berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533850