Oleh Vishvani Kumar
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Ketika kebanyakan kad ucapan Aidilfitri dihantar secara digital, wanita ini memilih untuk mengekalkan cara lama, iaitu menghantar kad raya fizikal yang semakin hilang ditelan zaman.
Lebih mengujakan Norain Mohamad Hadi, 34, adalah ketika menerima kad balasan yang dihantar oleh bukan sebarangan individu, tetapi daripada Istana Negara dan orang kenamaan lain.
“Sekeping kad raya itu mungkin nampak kecil, tetapi apabila datang daripada Istana (Negara), nilainya sangat bermakna. Apabila buka peti surat dan nampak kad itu, memang rasa tidak percaya dan sangat teruja.
“Siapa sangka dapat kad raya daripada Ketua Negara (Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim), dan saya difahamkan hanya 200 orang sahaja yang menerimanya. Saya rasa sangat bersyukur dan terharu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.
pic-2
Menurut wanita itu lagi, dia juga pernah menerima kad raya daripada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, iaitu kad raya pertama yang diterimanya daripada pemimpin negara.
Bercerita lanjut, anak jati Kuala Lumpur ini berkata minat menghantar kad raya fizikal bermula pada 2021 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat COVID-19.
“Masa itu susah hendak keluar dan berjumpa orang. Kemudian saya terjumpa satu kumpulan di Facebook, iaitu komuniti pengumpul kad hari raya. Dari situlah saya mula mengumpul dan menghantar kad raya kepada rakan-rakan serta orang kenamaan,” katanya.
Norain berkata menerusi komuniti dalam talian itu, dia turut mempelajari cara menulis dan menghantar kad raya dengan betul termasuk kepada golongan kenamaan dan kerabat diraja.
pic-3
Katanya, untuk dihantar kepada golongan kenamaan, kad akan dipilih dengan teliti selain menggunakan bahasa yang bersesuaian termasuk bahasa istana jika kad ditujukan kepada kerabat diraja.
“Biasanya saya akan membeli setem kira-kira tiga bulan sebelum Ramadan, manakala kad dibeli di kedai buku ataupun secara dalam talian, selain kad yang saya reka sendiri,” katanya, menambah lazimnya kad dipos kira-kira dua minggu sebelum Ramadan bagi memastikan kad sampai di tangan penerima seminggu sebelum Aidilfitri.
Bagi Norain, menghantar kad raya bukan sekadar mengekalkan tradisi lama, malah menjadi cara unik untuk berkomunikasi dengan tokoh tertentu yang sukar dihubungi melalui kaedah biasa.
“Kalau dengan orang biasa kita boleh WhatsApp atau hubungi mereka. Tetapi kalau dengan VIP, satu daripada cara untuk berkomunikasi ialah melalui surat atau kad seperti ini,” katanya yang pernah menghantar kad ucapan tahniah kepada Raja Charles bersempena dengan pertabalan baginda sebagai raja Britain pada 6 Mei 2023 dan menerima kad balasan beberapa bulan kemudian.
pic-4
Norain berkata saban tahun dia memperuntukkan RM500 hingga RM600 untuk membeli kad dan setem.
“Kad raya fizikal ini ada nilai sentimental. Kita boleh simpan dan pegang, berbeza dengan sekarang yang kebanyakannya hanya menghantar kad digital,” katanya.
Minat tersebut turut dikongsi dengan anak sulungnya Fatimah Azzahara Muhamad Firdaus, 8, yang sering membantu menampal setem serta membuat kad ucapan sendiri, sekali gus menyalakan harapan Norain agar tradisi menghantar kad fizikal dapat terus dikekalkan dan dipertahankan untuk generasi muda.
-- BERNAMA