AM

Agrobank Lancar Video Raya Khas Angkat Mesej Kesedaran Autistik

13/03/2026 10:56 AM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Di sebalik kegembiraan menyambut Aidilfitri, Agrobank memilih untuk berkongsi kisah yang membawa makna lebih mendalam melalui video raya khas bertajuk “Maaf Saya …”, yang mengangkat tema empati, penerimaan dan penghargaan terhadap golongan autistik.

Video berdurasi kira-kira tiga minit itu menampilkan perjalanan emosi sebuah keluarga dalam memahami keunikan anak mereka, sekali gus mengajak masyarakat melihat bahawa setiap individu mempunyai keistimewaan tersendiri yang wajar diraikan.

Karya berkenaan menampilkan pelakon Que Haidar sebagai teraju utama membawakan watak seorang bapa yang melalui perjalanan emosi dalam memahami serta menerima keunikan anaknya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata video raya khas itu bukan sekadar karya sempena Aidilfitri, malah membawa mesej sosial yang lebih mendalam kepada masyarakat.

“Golongan neurodiversiti amat dekat di hati kami di Agrobank, malah sebelum penghasilan video raya kali ini kami telah mengangkat karya seni daripada golongan neurodiversiti melalui penghasilan barangan korporat syarikat.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami dalam menyokong dan meraikan kepelbagaian bakat dalam masyarakat,” katanya pada sidang media di sini selepas pelancaran video itu yang disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata inisiatif itu juga selari dengan komitmen Agrobank dalam menyokong usaha membina masyarakat yang lebih inklusif serta prihatin terhadap golongan yang memerlukan perhatian khusus.

Sementara itu, Agrobank turut menganjurkan kempen khas sempena pelancaran video raya berkenaan dengan menawarkan pembukaan akaun tanpa deposit kepada 300 kanak-kanak autistik terawal di seluruh Malaysia.

Selain itu, kanak-kanak yang terlibat juga akan menerima pelan perlindungan kemalangan diri Agro Nurani secara percuma dengan perlindungan hingga RM11,500.

Video raya khas bertajuk “Maaf Saya …” itu telah dimuat naik di platform media sosial rasmi Agrobank pada 8 malam tadi untuk tontonan orang ramai.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533776