Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur mengakhiri dagangan bercampur-campur pada Jumaat susulan penurunan pasaran serantau dan penyusutan jualan kenderaan elektrik (EV) global, kata peniaga.
Penurunan itu, bagaimanapun, katanya, dapat dikekang susulan tindakan China melaksanakan langkah-langkah rangsangan selain kebimbangan berkaitan bekalan getah yang terhad.
“Niaga hadapan Jepun susut susulan kemerosotan ekuiti Asia walaupun pada masa sama yen rendah dan bekalan getah sintetik juga terhad,” katanya kepada Bernama.
Merujuk maklumat Benchmark Mineral Intelligence, peniaga itu berkata jumlah pendaftaran EV global turun 11 peratus pada Februari 2026 dengan jualan di China merosot 32 peratus kepada kurang 500,000 unit kenderaan.
“Kalangan peminjam China merancang untuk menyalurkan lebih banyak dana kepada firma teknologi dan inovasi susulan tindakan Beijing mengembangkan lagi kecerdasan buatan (AI) di serata ekonomi serta sektor baharu.
“Selain itu, bekalan getah butadiene juga terhad dan dijangka ketat susulan gangguan bekalan bahan mentah dari Timur Tengah yang berpotensi meningkatkan permintaan getah asli,” katanya ketika merujuk impak konflik Amerika Syarikat, Israel dan Iran ke atas komoditi itu.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 susut lima sen kepada 785 sen sekilogram manakala lateks pukal naik lima sen kepada 665 sen sekilogram.
-- BERNAMA