SEOUL, 12 Mac (Bernama-Yonhap) -- Parti pemerintah Parti Demokratik Korea (DP) dan pegawai kerajaan Korea Selatan pada Khamis bersetuju untuk menyediakan baucar tenaga bagi membantu golongan rentan menghadapi kenaikan harga susulan perang yang semakin memuncak di Asia Barat, lapor Agensi Berita Yonhap.
Dalam satu mesyuarat antara Ahli Parlimen DP dan pegawai kementerian tenaga di Perhimpunan Kebangsaan Korea Selatan, parti pemerintah itu menggesa kerajaan memastikan kos tenaga tidak memberi tekanan tambahan kepada isi rumah berpendapatan rendah, kata Ahli Parlimen Kim Ju-young kepada pemberita.
“DP meminta kerajaan mengekalkan tahap kesiapsiagaan respons kecemasan yang menyeluruh bagi mengelakkan kesulitan kepada orang ramai akibat gangguan bekalan elektrik, selain menyeru sokongan kebajikan awam agar peningkatan kos tenaga tidak terus membebankan isi rumah yang rentan,” katanya.
Kerajaan turut memaklumkan yang ia akan menubuhkan pasukan respons kecemasan serta bekerjasama dengan syarikat tenaga milik kerajaan dan penjana kuasa swasta bagi memastikan bekalan tenaga kekal stabil.
--BERNAMA-YONHAP