AM

Ramadan Medan Tingkat Keprihatinan Kepada Golongan Kurang Bernasib Baik - Dr Wan Azizah

11/03/2026 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Ramadan wajar dimanfaatkan sebagai medan untuk meningkatkan keprihatinan dan kasih sayang terhadap golongan kurang bernasib baik, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata Ramadan bukan sekadar bulan untuk menahan lapar dan dahaga, sebaliknya waktu terbaik membersihkan hati, memperkukuh iman serta menanam sifat empati terhadap kesusahan yang dihadapi orang lain.

“Ramadan mendidik kita untuk menjadi insan yang lebih sabar, bertakwa dan lebih prihatin terhadap penderitaan orang lain, selain menghargai setiap nikmat yang dikurniakan Allah SWT,” katanya pada Majlis Nur Ramadan dan Iftar Jamaie bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Rizalman Mohktar, Pengerusi Lembaga Pemegang AIM Datuk Seri Syed Hussian Syed Junid, Ketua Pegawai Eksekutif AIM Noor Aeiza Hassan dan komuniti Parlimen Bandar Tun Razak.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut menyentuh tentang tanggungjawab seorang pemimpin, dengan menegaskan kepimpinan bukan sekadar memerintah tetapi memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab dan rasa ihsan.

Beliau berkata pemimpin hari ini perlu sentiasa mendekati masyarakat dan berusaha mencari jalan untuk membantu memperbaiki kehidupan golongan yang memerlukan, khususnya keluarga berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada pihak AIM atas usaha mereka membantu ratusan ribu keluarga berpendapatan rendah untuk meningkatkan taraf hidup melalui pembiayaan mikro serta program pembangunan keusahawanan.

Beliau berkata hasil bantuan itu, banyak wanita yang sebelum ini hidup dalam kesusahan kini mampu membina perniagaan kecil, menyara keluarga dan memberikan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak mereka.

“Usaha ini sangat bertepatan dengan semangat Islam yang menekankan pembangunan ekonomi umat dan pembelaan terhadap golongan yang memerlukan,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan RM100 setiap seorang kepada 520 penerima merangkumi anak-anak yatim dan golongan asnaf dari Parlimen Bandar Tun Razak serta Sahabat Usahawan AIM.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533305