AM

Perak Jamin Tiga Ekor Gajah Dipantau Rapi Semasa Berada Di Tennoji Zoo

12/03/2026 09:02 PM

IPOH, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan keadaan tiga ekor gajah dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) yang dihantar ke Jepun akan dipantau rapi bagi memastikan kebajikan haiwan berkenaan terjamin. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata penghantaran tiga gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat ke Tennoji Zoo di Osaka itu merupakan hasil kerjasama yang telah dibincangkan sejak 2022. 

Beliau berkata minat untuk mendapatkan gajah dari Malaysia telah disuarakan pihak zoo berkenaan dan proses penghantaran itu diselaraskan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama pihak pengurusan zoo. 

"Sepanjang beberapa tahun ini beberapa siri perbincangan telah diadakan termasuk lawatan pihak Perhilitan ke Osaka bagi menilai kemudahan yang disediakan untuk memastikan ia bersesuaian.

"Memorandum persefahaman (MoU) juga telah ditandatangani sebelum ini dan ia membawa kepada penghantaran tiga gajah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Edaran Bubur Lambuk Iftar Ramadan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak yang turut dihadiri Pengarahnya Datuk Sayani Saidon di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini ,hari ini. 

Ng berkata Majlis Perbandaran Taiping yang menguruskan ZTNS turut memaklumkan bahawa ketiga-tiga gajah berkenaan telah selamat tiba di Osaka baru-baru ini.

Beliau berkata wakil ZTNS dijangka melakukan lawatan ke zoo berkenaan sekitar April depan bagi melihat keadaan gajah tersebut selain menandatangani MoU susulan kerjasama dua hala itu.

“Kerjasama itu juga melibatkan pertukaran haiwan yang mana selepas penghantaran gajah, pihak ZTNS dijangka menerima haiwan daripada Tennoji Zoo,” katanya. 

Ng berkata pihak ZTNS bersama Perhilitan sentiasa memastikan aspek kebajikan haiwan diberi keutamaan sepanjang kerjasama tersebut berlangsung.

Terdahulu, warganet meluahkan kebimbangan terhadap kebajikan tiga ekor mamalia berkenaan selepas dakwaan mengenai penghantaran gajah tersebut ke Jepun tular. 

Malah terdapat petisyen dalam talian yang dibuat bagi membantah tindakan membawa haiwan berkenaan ke Jepun dan sehingga Khamis lebih 26,000 orang telah menyokong petisyen tersebut.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533725