AM

13,920 Kes Tunggakan Nafkah Diselesaikan Sejak 2020 - Marhamah

12/03/2026 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Sebanyak 13,920 kes tunggakan nafkah melibatkan bekas isteri berjaya diselesaikan dalam tempoh 2020 hingga 2025 menerusi pelbagai inisiatif penguatkuasaan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata pencapaian itu mencerminkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu kegagalan membayar nafkah yang dianggap sebagai pengabaian tanggungjawab yang menjejaskan kebajikan wanita dan anak-anak.

Beliau berkata penyelesaian tersebut digerakkan oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) melalui perkhidmatan perundingan dan guaman syarie bagi menuntut tunggakan secara runding cara mahupun melalui proses perundangan.

"Pegawai BSK bertauliah peguam syarie boleh mewakili bekas isteri di Mahkamah Syariah menerusi tindakan seperti saman penghutang penghakiman, tahanan pendapatan, komital, sita dan jual serta prosedur hiwalah iaitu sekatan akaun bank," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr Jufitri Joha yang ingin tahu statistik jumlah bekas isteri yang mendapat manfaat daripada BSK dari 2020-2025 yang diwujudkan kerajaan bagi memastikan perintah nafkah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dipatuhi dan dilaksanakan bekas suami kepada bekas isteri dan anak-anak.

Mengulas mengenai mekanisme terbaharu, Marhamah memaklumkan sebanyak 166 kes berjaya diselesaikan melalui Perintah Hiwalah sejak ia diperkenalkan pada 2022 sehingga tahun lepas.

Beliau berkata walaupun mekanisme itu berkesan, terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaannya termasuk kurang kerjasama daripada penghutang (bekas suami) penghakiman untuk memberikan maklumat majikan serta baki akaun bank yang tidak mencukupi untuk melunaskan tunggakan.

"Cabaran lain timbul apabila pihak majikan daripada sektor swasta atau bukan beragama Islam yang mendapat nasihat perundangan bahawa mereka tidak terikat dengan perintah Mahkamah Syariah," katanya.

Selain tindakan perundangan, Marhamah berkata kerajaan turut menyediakan khidmat Dana Pendahuluan dengan menyalurkan RM1.73 juta sehingga Disember lepas bagi memastikan kebajikan bekas isteri dan anak-anak terpelihara sementara menunggu penyelesaian tunggakan.

Beliau berkata inisiatif itu turut merangkumi perkhidmatan BSK Transit yang disediakan sejak 2022 bagi menampung kos perjalanan, makan minum dan penginapan bekas isteri untuk menghadiri prosiding mahkamah berkaitan nafkah.

Sementara itu, Marhamah memuji usaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang   menyalurkan bantuan berjumlah RM62.73 juta melalui 10 skim bantuan kepada 7,683 ibu tunggal di wilayah berkenaan sepanjang 2025.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533475