KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Media boleh memainkan peranan penting untuk membangkitkan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat yang menjadi asas kepada pembinaan negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed .
Beliau berkata peranan itu penting bagi memastikan masyarakat terus menghargai nilai patriotisme dan memahami tanggungjawab bersama dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Media boleh memainkan peranan untuk membangkitkan semangat kebangsaan... itu penting sebagai asas pertahanan negara,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Menteri Pertahanan bersama pengamal media di sini malam ini.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Haikal Mohd Isa.
Mohamed Khaled turut memuji pengamal media susulan kerjasama berterusan dalam membuat liputan berkaitan hal ehwal pertahanan dan keselamatan negara.
Beliau juga berkata dalam situasi geopolitik semasa, khususnya konflik di Asia Barat, setiap negara perlu sentiasa berwaspada dan memperkukuh keupayaan keselamatan masing-masing.
“Keselamatan dan pertahanan bukan semata-mata tanggungjawab angkatan tentera sebaliknya memerlukan penglibatan serta sumbangan semua rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA