KOTA BHARU, 8 Mac (Bernama) -- Polis Thailand merancang memasang kawat berduri di semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand sebagai langkah awal memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mej Jen Prayong Kotsakha berkata pemasangan itu merupakan langkah permulaan sebelum tindakan lanjut termasuk pembinaan tembok keselamatan serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) seperti yang telah dilaksanakan di beberapa kawasan di daerah Sungai Golok.
Beliau berkata buat masa ini kawat berduri akan dipasang di lokasi pangkalan haram yang sering dijadikan laluan oleh orang ramai untuk menyeberangi sempadan secara tidak sah, sebagaimana langkah yang telah dilakukan pihak berkuasa Malaysia.
“Tindakan ini bertujuan memastikan kawalan sempadan dapat dijalankan dengan lebih rapi selain mengelakkan kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya kepada media Malaysia melalui jurubahasa tempatan baru-baru ini.
Prayong berkata pihak berkuasa Thailand juga akan mendapatkan maklum balas daripada penduduk kampung di kawasan terlibat sebelum pelaksanaan dibuat bagi mengelakkan sebarang isu pada masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerjasama antara Malaysia dan Thailand amat penting bagi memastikan setiap laluan di pangkalan haram dapat dipantau dengan lebih berkesan.
Beliau turut menghargai tindakan pihak berkuasa Malaysia yang memasang papan tanda amaran di beberapa pangkalan haram di kawasan sempadan bagi memberi peringatan kepada orang ramai mengenai kesalahan menyeberangi sempadan secara haram.
Mengenai kegiatan pengedaran dadah di Wilayah Narathiwat, Prayong berkata pihak berkuasa mengesan peningkatan penyeludupan dadah menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran.
Beliau berkata sejak hujung bulan lepas hingga kini terdapat tiga kes dikesan di daerah Rueso, Rangae dan Sungai Golok yang melibatkan rampasan antara 10,000 hingga 500,000 pil Yaba.
“Dalam kebanyakan kes, dadah yang tiba di tiga daerah tersebut dipercayai diseludup ke Malaysia tetapi tindakan undang-undang sukar diambil kerana penyeludup sering menggunakan identiti individu lain ketika menghantar bungkusan melalui syarikat penghantaran.
“Selain itu, sindiket turut menggunakan alamat tidak tepat sebagai lokasi penghantaran bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Prayong berkata kebanyakan pil Yaba dibawa dari utara Thailand dan disembunyikan di daerah sempadan seperti Sungai Golok atau Takbai sebelum diseludup keluar ke Malaysia.
Beliau berkata pergerakan dadah seperti pil Yaba dan syabu sentiasa berlaku di kawasan sempadan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa kedua-dua negara.
“Siasatan kami mendapati ada pil Yaba yang diseludup ke Malaysia dibawa masuk semula ke Thailand kerana bimbang dikesan dan dirampas,” katanya.
--BERNAMA