Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pada Rabu, menjejaki prestasi lemah di Wall Street apabila ketiga-tiga indeks utama Amerika Syarikat (AS) ditutup jauh di bawah paras tertinggi harian selepas sesi yang tidak menentu.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.44 mata kepada 1,701.24 daripada paras 1,701.68 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.58 mata lebih rendah pada 1,700.10.
Pasaran secara keseluruhan negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 211 berbanding 185. Sebanyak 274 kaunter tidak berubah, 1,996 tidak diniagakan dan 10 digantung.
Jumlah dagangan mencatat 234.87 juta saham bernilai RM141.09 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kalangan peniaga terus memberi perhatian kepada konflik yang semakin meruncing di Asia Barat serta penurunan harga minyak mentah.
“Harga minyak mentah Brent terus menurun dan kini berada di bawah US$88 setong.
“Sebelum ini, kenyataan Presiden AS Donald Trump bahawa perang dengan Iran akan berakhir tidak lama lagi telah mencetuskan penurunan harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.
Meskipun terdapat ketidakpastian semasa, beliau berkata penurunan harga minyak mentah tersebut boleh menjadi pemangkin kepada pasaran serantau untuk mencatatkan kenaikan.
“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam lingkungan 1,700 hingga 1,715 hari ini,” katanya.
Sementara itu, katanya harga minyak sawit mentah yang meningkat sekitar RM4,600 setiap tan boleh menarik minat belian pada saham perladangan.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 14 sen kepada RM11.80, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.78 dan CIMB Group menokok 12 sen kepada RM7.97, manakala Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM14.10 dan IHH Healthcare merosot enam sen kepada RM8.95.
Dalam senarai paling aktif, AirAsia X melonjak 20 sen kepada RM1.31, manakala Pegasus Heights, TWL Holdings, Capital A dan Pharmaniaga kekal tidak berubah pada separuh sen, 2.5 sen, 45 sen dan 24 sen masing-masing.
Antara kaunter paling untung, Petronas Dagangan naik 22 sen kepada RM21.72, KESM Industries meningkat 18 sen kepada RM2.97, manakala MISC dan LPI Capital masing-masing menambah 10 sen kepada RM8.42 dan RM14.30. Press Metal Aluminium Holdings meningkat sembilan sen kepada RM7.67.
Kaunter paling rugi pula termasuk Nestle yang merosot RM1 kepada RM103, Malaysian Pacific Industries susut 48 sen kepada RM30.06, Petronas Gas merosot 16 sen kepada RM17.44, IGB turun 12 sen kepada RM3.74 dan Concrete Engineering Products menurun 12 sen kepada RM1.10.
Pada papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 2.88 mata kepada 12,267.71, Indeks FBM Emas merosot 3.04 mata kepada 12,424.76, Indeks FBM 70 turun 2.58 mata kepada 17,062.12 dan Indeks FBM Emas Shariah menurun 20.19 mata kepada 12,081.46. Sementara itu, Indeks FBM ACE meningkat 5.18 mata kepada 4,364.40.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 65.93 mata kepada 20,742.98 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.09 mata kepada 172.17, manakala Indeks Perladangan susut 35.00 mata kepada 8,332.49 dan Indeks Tenaga menurun 3.67 mata kepada 777.88.
-- BERNAMA