AM

300 Kit Makanan Diagih Sempena Program Harapan Ramadan Di Melaka - YADIM

11/03/2026 12:06 PM

MELAKA, 11 Mac (Bernama) -- Sebanyak 300 kit makanan bernilai RM44,000 diagihkan dalam Program Harapan Ramadan anjuran CIMB Islamic Bank Berhad dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Pengarah YADIM Negeri Sembilan dan Melaka Abdul Halim Ismail berkata kit makanan itu mengandungi beras, minyak masak, tepung, gula dan beberapa barangan keperluan Syawal bernilai RM150 setiap satu.

"Di Melaka, kita agihkan di Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah secara berperingkat dan hari ini adalah fasa kedua, iaitu di Melaka Tengah manakala Khamis ini di Alor Gajah dengan setiap daerah melibatkan 100 penerima.

"Penerima sumbangan antaranya ibu tunggal di samping golongan fakir dan miskin yang telah kita kenal pasti," katanya kepada pemberita selepas Program Harapan Ramadan 2026 Negeri Melaka di sini.

Turut hadir Penaung Pertubuhan Sejagat, Amal, Takwa dan Ukhwah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Abdul Halim berkata sumbangan kit makanan itu bertujuan meringankan kos sara hidup penerima sekali gus membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata YADIM akan melaksanakan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Melaka dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan di Masjid Al-Abrar, Semabok pada 15 Mac ini.

Beliau berkata program itu akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

"Antara pengisian program itu ialah tadarus al-Quran yang berlangsung di ketiga-tiga daerah di Melaka melibatkan 50 peserta setiap daerah dan khatam al-Quran turut berlangsung pada hari sama dengan 30 peserta setiap daerah," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2532948