Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Selasa susulan harga minyak mentah merosot selepas kenyataan Presiden AS Donald Trump yang memberi bayangan kemungkinan perang di Iran berakhir tidak lama lagi.
Pada 6 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 3.9200/9260 berbanding dolar AS daripada 3.9590/9655 ketika ditutup semalam.
Ketika laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent susut 8.23 peratus kepada US$86.80 setong daripada paras tinggi semalam iaitu US$118.60 setong.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata geopolitik terus menjadi tumpuan penting ketika peniaga dan pelabur merancang strategi masing-masing.
“Bagaimanapun, keadaan masih di peringkat awal dan kekal tidak menentu, terutama apabila Iran melantik Pemimpin Tertinggi yang baharu baru-baru ini. Oleh itu, prestasi ringgit berbanding dolar AS dianggap memberangsangkan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ringgit meningkat 0.90 peratus berbanding dolar AS, manakala mata wang pasaran sedang pesat membangun lain turut menunjukkan aliran yang sama hari ini.
Pada akhir dagangan, ringgit mencatatkan prestasi lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4859/4899 daripada 2.4992/5035 ketika ditutup pada Isnin, dan naik berbanding pound British kepada 5.2744/2824 daripada 5.2809/2896.
Ringgit juga lebih kukuh berbanding euro kepada 4.5668/5738 daripada 4.5738/5813.
Mata wang tempatan juga kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Ringgit lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.0806/0855 daripada 3.0925/0978 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 232.4/232.9 daripada 233.5/234.0.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.3941/4205 daripada 12.3345/3617, dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.65/6.67.
-- BERNAMA