JENAYAH & MAHKAMAH

150 Polis Marin Kawal Perairan Johor Sepanjang Aidilfitri

11/03/2026 10:31 AM

ISKANDAR PUTERI, 11 Mac (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menugaskan sebanyak 150 anggota bagi mengawal perairan, dengan kekuatan 20 bot ronda sepanjang musim perayaan Aidilfitri di Johor.

Komander PPM Wilayah Dua ACP Noor Azman Jamal berkata rondaan akan turut dilakukan dengan kerjasama Polis Pengawal Pantai Singapura (SPCG) menerusi kerjasama dan persefahaman yang telah lama terjalin.

Beliau berkata PPM Wilayah Dua memfokuskan pemantauan di perairan Selat Johor Barat dari Tambak Johor sehingga ke perairan Tanjung Piai dekat Pontian.

“Selain itu, pemantauan juga dilakukan di perairan sebelah timur, dari Tambak Johor sehingga ke perairan Pengerang dekat Kota Tinggi,” katanya kepada Bernama ketika mengadakan pertemuan dengan Singapore Police Coast Guard (SPCG) di perairan Selat Johor Barat, di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (Operasi/Risik) Bukit Aman ACP Zulkifli Mahmood dan Komander SPCG SAC Ang Eng Seng.

Noor Azman berkata pemantauan yang dilakukan memfokuskan kepada penguatkuasaan dan tangkapan pendatang tanpa izin serta mengekang penyeludupan barangan kawalan seperti bahan api.

Pada tahun lepas, kebanyakan rampasan yang dilakukan pihaknya adalah melibatkan bahan api seperti petrol serta diesel selain mercun, dan tangkapan pendatang tanpa izin.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya bersama SPCG terus memperkukuh kerjasama dan berkongsi maklumat bagi menguatkuasakan undang-undang di perairan negara masing-masing.

“Kita telah lama jalin persefahaman dan penguatkuasaan, kerjasama ini turut dijalankan termasuk pada musim perayaan,” katanya.

Terdahulu, pegawai dan anggota PPM Wilayah Dua serta SPCG turut berbuka puasa bersama dalam pertemuan yang berlangsung hampir dua jam di atas bot ronda PA 14 milik PPM.

-- BERNAMA

 

 

 


 

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2532910