KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) - Juara dunia 2025, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin bakal mengetuai cabaran skuad para berbasikal negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan Malaysia tetap bersedia memberi saingan walaupun mengakui peluang memburu pingat bukan tugas mudah.
Timbalan Biro Para Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Ramlay Ibrahim berkata selain pelumba berusia 28 tahun itu, pasukan negara turut diwakili seorang lagi pelumba serta dua gandingan pelumba tandem lelaki dan wanita menjadikan keseluruhan tiga acara disertai.
“Kita dapat slot untuk pergi Sukan Komawel namun agak sukar untuk dapat pingat sebab saingan dijangka sengit.
“Taraf kita lebih kurang, cuma mereka (negara Komanwel lain) mungkin sedikit lebih baik daripada kita,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.
Beliau berkata pemilihan atlet dibuat berdasarkan prestasi semasa termasuk pencapaian pada beberapa kejohanan antarabangsa seperti Kejuaraan Dunia edisi lepas.
Ketika ini skuad para berbasikal negara sedang menjalani latihan di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai.
Antara acara yang dipertandingkan di Sukan Komanwel kali ini ialah pecut tandem, ujian masa satu kilometer (km) tandem, ujian masa 1km C1-3, serta kejar-mengejar individu C1-3 lelaki dan wanita.
Acara berbasikal para akan berlangsung dari 30 Julai hingga 2 Ogos di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow.
— BERNAMA