KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Tindakan bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli untuk memulakan prosiding kebankrapan terhadap Pengarah National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, serta pembubaran syarikat berkenaan, telah diselesaikan secara baik.
Perkara tersebut disahkan oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili Ahli Parlimen Pandan itu.
Kes tersebut dijadualkan untuk didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Gan Techiong hari ini, tetapi sesi pendengaran dibatalkan selepas Notis Penamatan difailkan pada 3 Mac. Mahkamah kemudian menggugurkan kes berkenaan tanpa perintah mengenai kos.
Rafizi memfailkan tuntutan itu bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding kebankrapan dan pembubaran syarikat tersebut berikutan dakwaan gagal menyelesaikan baki kos yang diperintahkan oleh mahkamah.
Perintah mahkamah berhubung tuntutan fitnah yang difailkan terhadap Rafizi mewajibkan beliau membayar ganti rugi dan kos, tanpa faedah.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Rafizi mengakui defendan (Mohamad Salleh dan NFCorp) telah membayar sejumlah RM300,000 melalui peguam mereka pada Disember 2022. Jumlah baki sebenar yang dituntut oleh Rafizi, tidak dinyatakan.
Namun, defendan meminta supaya faedah diketepikan atas alasan “tanggungjawab kewangan yang besar” mereka. Walaupun permohonan ini ditolak oleh peguam Rafizi, defendan tidak membuat sebarang pembayaran seterusnya.
Pada 2016, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Rafizi membayar RM150,000 sebagai ganti rugi kepada Mohamad Salleh dan RM50,000 ganti rugi kepada NFCorp selepas membenarkan saman beliau terhadap Rafizi.
Rafizi juga diperintahkan membayar kos RM100,000 kepada Mohamad Salleh.
Pada 2019, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Rafizi dan memerintahkan ganti rugi RM200,000 serta kos RM100,000 yang sebelum ini dibayar kepada Mohamad Salleh dan NFCorp dikembalikan kepada Rafizi.
Mahkamah juga memerintahkan tambahan kos RM110,000 pada peringkat rayuan.
Keputusan tersebut kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada April 2022, yang turut memerintahkan kos sebanyak RM70,000 dibayar kepada Rafizi.
-- BERNAMA