BUTTERWORTH, 10 Mac (Bernama) -- Lapan individu termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan terlibat menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Adik Labu Besar’ pada tahun lepas.
Mereka ialah Nur Alya Nadhira Che Hassan, 22; Nurul Natasha Mohammad Shukri, 23; Muhamad Samerin Shahrom, 35; Mohamed Aizat Rosmadi, 28; Aizal Abuk Bakar, 23; Mohammad Zaini Yusoff, 27; Muhammad Azizi Abd Ghafar, 22, dan Muhamad Fitri Abdul Karim, 31.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Roslan Hamid kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Adik Labu Besar’ di sebuah rumah di Kampung Gajah, Butterworth dalam daerah Seberang Perai Utara antara Mac 2025 hingga 16 Okt 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suloshani Vijendran dan Maryam Jamielah Ab Manaf.
Peguam Manjit Singh Mann mewakili Nurul Natasha manakala tujuh suspek lain tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin kerana jaminan hanya boleh dipohon di Mahkamah Tinggi dan menetapkan 4 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata polis berjaya menumpaskan satu sindiket pecah rumah yang dianggotai lapan lelaki tempatan dengan kerugian dianggar menghampiri RM1 juta menerusi Ops Shadow di Pulau Pinang, pertengahan bulan lepas.
Dalam operasi khas pada 15 Feb itu, beliau berkata lima suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala tiga lagi suspek yang dikenal pasti sedang menjalani tahanan di Penjara Jawi serta Penjara Alor Setar, Kedah atas kesalahan lain.
-- BERNAMA