JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ Gantung Serta-Merta Lesen Pemandu Bas Terlibat Kemalangan Di Johor

10/03/2026 11:06 AM

ALOR SETAR, 10 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung serta-merta Lesen Vokasional (PSV) pemandu bas ekspres terbabit kemalangan hingga menyebabkan 10 penumpang cedera di Kilometer 19, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Johor semalam. 

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tindakan diambil mengikut Seksyen 56 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sehingga siasatan berkaitan kemalangan itu selesai. 

Beliau berkata JPJ turut mengarahkan pasukan penguat kuasa menjalankan JPJ Inspection and Safety Audit (JISA) terhadap bas terbabit bagi meneliti aspek pematuhan keselamatan kenderaan.

“Pasukan kami telah diarah menjalankan audit JISA terhadap kenderaan bas terlibat bagi menyemak aspek keselamatan dan pematuhan operasi,” katanya kepada pemberita selepas Program Singggah Sahur JPJ Kedah bersama Kelab Permotoran Kedah di sini, awal pagi tadi. 

Beliau berkata JPJ turut membuat semakan terhadap Speed Limitation Device (SLD) pada bas berkenaan dan mendapati sijil pengesahan peranti tersebut masih sah hingga 2027.

“Buat masa ini siasatan berkaitan kemalangan diserahkan kepada pihak polis kerana ia melibatkan kes kemalangan jalan raya, manakala JPJ menjalankan tindakan penguatkuasaan di bawah bidang kuasa jabatan,” kata  Aedy Fadly.

Semalam, polis memaklumkan kemalangan membabitkan bas ekspres yang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Larkin, Johor Bahru itu dipercayai berpunca daripada pemanduan cuai.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam, bas itu dipercayai hilang kawalan di selekoh sebelum terbabas ke bahu jalan dan terbalik berhampiran Kampung Sepakat Baru, Skudai dan menyebabkan pembantu pemandu bersama sembilan penumpang cedera pada bahagian kepala, badan, tangan dan kaki.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata JPJ merancang menambah lebih banyak kamera badan (BWC) bagi kegunaan anggota penguat kuasa di lapangan.

Menurutnya, setakat ini agensi itu mempunyai kira-kira 100 unit kamera badan yang mula digunakan sejak November tahun lepas, khususnya ketika anggota menjalankan operasi penguatkuasaan di jalan raya.

“Setakat ini kita lihat keberkesanannya agak tinggi kerana anggota yang bertugas diwajibkan memakai kamera badan semasa menjalankan operasi. Namun disebabkan jumlahnya terhad, penggunaannya terpaksa dilakukan secara giliran,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini dalam proses merancang perolehan baharu termasuk menyediakan spesifikasi tender bagi menambah bilangan kamera badan, dengan sasaran awal sekitar 500 unit atau lebih bergantung kepada peruntukan diluluskan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2532481