JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Aidilfitri: JPJ Guna Dron Spesifikasi Tinggi, Pantau Kesalahan Jalan Raya

08/03/2026 12:41 PM

MACHANG, 8 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan dron spesifikasi tinggi bagi memantau perjalanan pengguna jalan raya di Kelantan sempena Ops Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata penggunaan dron itu bertujuan mengesan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik, yang seterusnya boleh dikenakan tindakan melalui Notis 114 (notis panggilan temu siasat).

Beliau berkata buat masa ini penggunaan dron spesifikasi tinggi itu dilaksanakan di Kelantan terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke negeri lain.

“Kami akan menggunakan dron ini bermula 13 Mac bagi memantau perjalanan orang awam pulang ke kampung dan mana-mana pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan bersesuaian melalui pemantauan dron ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Aplikasi JPJvBID dan Program Singgah Sahur di Stesen Penguatkuasaan Labok di sini awal pagi ini.

Aedy Fadly berkata dron berkenaan mampu merakam dan menyimpan video serta gambar dari jarak jauh bagi mengesan individu yang melakukan kesalahan trafik.

Beliau berkata anggota JPJ yang mengendalikan dron itu telah menjalani latihan dan memiliki lesen sah untuk mengoperasikan peralatan berkenaan.

Aedy Fadly bagaimanapun berkata JPJ masih belum boleh mengeluarkan saman secara terus melalui penggunaan dron kerana pindaan Rang Undang-Undang berkaitan saman elektronik masih belum dimuktamadkan.

“Sebaliknya, pesalah yang dikesan melalui rakaman dron akan dipanggil melalui Notis 114 dan bukti kesalahan akan ditunjukkan kepada mereka.

“Jika pesalah tidak hadir sesi temu siasat, pihak kami boleh mengeluarkan saman,” katanya.

Sementara itu, JPJ turut melancarkan aplikasi JPJvBID bagi pengurusan lelongan awam kenderaan sita dan dilucuthak secara dalam talian.

Aedy Fadly berkata aplikasi itu adalah langkah strategik untuk memperkukuh ketelusan, kecekapan serta integriti dalam pengurusan pelupusan kenderaan.

Sebagai permulaan, projek rintis akan dilaksanakan di JPJ Selangor melibatkan 30 kenderaan termasuk motosikal, kereta dan kenderaan scrap (menghapuskan) untuk dilelong.

Beliau berkata pemeriksaan fizikal kenderaan tidak lagi dibenarkan dan pembida perlu merujuk sepenuhnya kepada imej kenderaan yang dipaparkan dalam aplikasi berkenaan.

Aplikasi JPJvBID boleh dimuat turun mulai 10 Mac melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei App Gallery menggunakan ID MyJPJ sedia ada atau pendaftaran baharu di portal rasmi JPJ.

Orang awam yang berminat boleh membeli e-katalog bagi tujuan bidaan bermula 18 Mac pada harga RM50 bagi setiap siri bidaan manakala sesi bidaan pertama dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 5 April.

Beliau berkata inisiatif itu diyakini dapat memperkukuh integriti pengurusan kenderaan sitaan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531747