SUNGAI PETANI, 9 Mac (Bernama) -- Dua anggota tentera berpangkat koperal dari sebuah kem dekat sini, ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes pukul dan mendatangkan kecederaan terhadap dua anggota lain.
Difahamkan, kedua-duanya direman selama tiga hari bermula hari ini, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Kejadian dikatakan berlaku sekitar 10 malam, Khamis lepas di kawasan penginapan kem tersebut, membabitkan suspek berusia 25 dan 27 tahun.
Kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 21 dan 24 tahun, dipercayai dipukul sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang badan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.
"Kes masih dalam siasatan…pagi ini reman suspek untuk bantu siasatan," katanya.
-- BERNAMA