SUNGAI PETANI, 9 Mac (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari mahu semua pihak mengambil iktibar daripada perkara yang berlaku dan mengatur langkah seterusnya dengan teliti bagi memastikan pembangunan sukan bola sepak terus berkembang.
Beliau berkata isu penggunaan dokumen tidak sah sudah melalui proses undang-undang dan pihaknya menerima keputusan dibuat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
"Proses undang-undang itu telah pun berjalan dan kita menerima keputusan yang telah pun dilakukan. Kita akan meneliti langkah susulan yang perlu kita laksanakan.
"Kita juga akan meneliti langkah seterusnya di peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang pasti adalah program pembangunan bola sepak negara, di peringkat akar umbi, tidak boleh terhenti," katanya kepada pemberita selepas program Iftar Ramadan MADANI di Masjid Al-Ikhlas di Tikam Batu dekat sini, malam tadi.
Beliau mengulas keputusan CAS mengekalkan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang terpalit isu penggunaan dokumen tidak sah untuk mewakili Malaysia.
Dr Mohammed Taufiq berkata KBS akan bekerjasama rapat dengan rakan strategik termasuklah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memastikan usaha berterusan dapat dilaksanakan untuk pembangunan bola sepak negara.
"Semangat dalam sukan bola sepak perlu diteruskan. Program seperti NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) akan kita teruskan dan kita akan bekerja rapat bersama dengan rakan strategik FAM.
"Majlis Sukan Negara (MSN) juga akan mengambil tanggungjawab untuk memastikan NFDP ini dapat terus melahirkan lebih ramai lagi atlet di peringkat akar umbi untuk pembangunan bola sepak kita," katanya.
CAS mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan skuad kebangsaan, namun ia terhad kepada perlawanan rasmi dan kelonggaran diberikan bagi membolehkan pemain menjalani aktiviti bola sepak bersama kelab masing-masing.
Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Tomás Garces Rattaro, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Dalam perkembangan lain, Mohammed Taufiq turut merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan hoki negara yang layakke Piala Dunia 2026.
"Syabas dan tahniah, kita akan terus memberikan dorongan, sokongan dan juga kerjasama untuk membangunkan lagi sukan-sukan dalam negara kita.
"Tahniah juga untuk atlet beregu badminton negara serta kepada 'The Pocket Rocketman', Datuk Azizulhasni Awang. Ini merupakan suatu pencapaian yang luar biasa dalam bulan Ramadan. Semua atlet bertungkus-lumus dan ia bukan suatu perkara yang mudah, tahniah," katanya.
-- BERNAMA