AM

TMM2026: Konflik AS-Iran Uji Ketahanan Industri Pelancongan - Pakar

10/03/2026 12:14 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Ketidaktentuan disebabkan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berpotensi menggugat industri pelancongan global yang amat sensitif terhadap situasi ketegangan antarabangsa, khususnya apabila melibatkan rangkaian penerbangan yang menjadi nadi utama mobiliti pelancong.

Meskipun Malaysia berada jauh daripada zon konflik, kesannya tetap dirasai berikutan tercetusnya fenomena global “mobility shock” yang menyaksikan gangguan ruang udara di hab penerbangan utama seperti Dubai, Doha dan Abu Dhabi.

Situasi itu menyebabkan jarak laluan penerbangan menjadi lebih jauh serta kos tiket meningkat, sekali gus memberi kesan kepada pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia yang banyak bergantung kepada hab transit Teluk bagi perjalanan ke Eropah dan Afrika.

Profesor Ekonomi Pelancongan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohd Hafiz Hanafiah berkata senario itu berpotensi menjejaskan pergerakan pelancong masuk dan keluar dari Malaysia, sekali gus menguji momentum kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa serta pendapatan RM329 bilion.

“Apabila keyakinan pelancong merosot, perjalanan jarak jauh biasanya yang paling awal terkesan. Sekiranya konflik berpanjangan, harga minyak global yang naik mendadak menyebabkan kos penerbangan juga meningkat. Ini boleh memberi tekanan berganda kepada aliran masuk pelancong ke Malaysia," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata kesan itu boleh diminimumkan sekiranya Malaysia memanfaatkan kekuatan pasaran serantau yang disokong oleh Singapura, Indonesia, China dan Thailand selain memperkukuh imej negara sebagai destinasi yang stabil dan selamat.

"Pada saya, cabarannya (pada kadar) sederhana hingga tinggi, tetapi masih boleh diurus. Malaysia masih disokong pasaran serantau yang kukuh. Faktor paling kritikal ialah kesalinghubungan penerbangan kerana jika gangguan hab di Teluk berlarutan, ia boleh menjejaskan momentum ketibaan pelancong," katanya.

Beliau berpandangan strategi pelancongan negara juga perlu disesuaikan dengan memberi tumpuan kepada usaha membina keyakinan pelancong, termasuk menekankan aspek keselamatan, fleksibiliti tempahan dan kemudahan akses perjalanan.

“Langkah lain yang boleh diambil termasuk memperkukuh kerjasama dengan syarikat penerbangan bagi meningkatkan kapasiti tempat duduk serta memperluaskan kerjasama kod perkongsian melalui hab transit alternatif di Asia,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Hafiz berkata pemain industri seperti hotel dan agensi pelancongan juga disaran menawarkan polisi tempahan yang lebih fleksibel bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk merancang perjalanan ke Malaysia.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Azlizam Aziz berkata konflik tersebut berpotensi mempengaruhi persepsi pelancong antarabangsa terhadap kestabilan perjalanan global walaupun kesannya mungkin tidak dirasai secara langsung oleh destinasi di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Beliau berkata pelawat antarabangsa lazimnya membuat pertimbangan berdasarkan gambaran keseluruhan kestabilan global, bukan semata-mata kedudukan geografi sebenar sesuatu destinasi.

"Dalam banyak kes, pelancong luar negara yang kurang arif mengenai geografi sesuatu kawasan mungkin lebih terkesan dengan persepsi keselamatan berbanding realiti sebenar. Tetapi ini mungkin tidak akan jadi seperti perang teluk pertama dan kedua sebab kini aliran maklumat sangat pantas dan pelancong boleh mendapatkan maklumat real-time (masa nyata)," katanya.

Azlizam berkata situasi itu turut membuka ruang peluang di sebalik cabaran yang dihadapi industri pelancongan memandangkan Malaysia masih mempunyai kelebihan sebagai destinasi pelancongan yang aman, moden dan mesra pelawat antarabangsa selain mempunyai kemudahan pelancongan yang matang serta masyarakat yang terbuka kepada kehadiran pelawat dari luar negara.

"Isu akses penerbangan dari beberapa pasaran tertentu seperti Eropah mungkin terjejas sekiranya perjalanan memerlukan transit di hab penerbangan yang terkesan oleh konflik. Jika tidak melibatkan akses melalui hub seperti Doha maka ia tidak menjadi signifikan," katanya.

Beliau berkata syarikat penerbangan kini juga dilihat lebih fleksibel dan kreatif dalam merancang laluan penerbangan dengan mengelakkan zon konflik bagi memastikan perjalanan antarabangsa masih dapat diteruskan seperti biasa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2532525