BATU KAWAN, 25 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk terus meningkatkan keupayaan profesionalisme dan ketegasan dalam melaksanakan tugas, khususnya dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya.
Beliau berkata sebagai agensi yang berurusan secara langsung dengan masyarakat, setiap tindakan JPJ menjadi perhatian dan penilaian umum, sekali gus menuntut tahap integriti dan kecekapan yang tinggi.
“Kadang-kadang kalau JPJ tegas, tidak disenangi oleh rakyat…kalau lembik dan tolak ansur, ditekan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
“Jadi, pegawai JPJ dalam keadaan dipantau langsung, apalagi kita punyai media sosial hari ini. Ada yang menegur berdasarkan nilai dan akhlak, ada yang menegur secara nafsu serakah dan kebencian... jadi ujian yang kita hadapi itu lebih berat,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di Pekarangan Stadium Negeri, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abdul Bakar dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut meminta warga JPJ supaya menerima teguran rakyat secara positif dan menjadikan ia sebagai dorongan untuk melakukan penambahbaikan perkhidmatan berterusan.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan pendigitalan dalam sistem penyampaian perkhidmatan bagi mengurangkan ruang kepada tohmahan serta meningkatkan ketelusan.
“Kalau negara mahu maju, kita tidak boleh kekal dengan kaedah lama. Transformasi digital ini penting untuk tingkatkan kecekapan dan keyakinan rakyat,” kata beliau.
Perdana Menteri turut memuji prestasi semasa JPJ yang disifatkan lebih baik berbanding sebelumnya, namun mengingatkan bahawa usaha pembaharuan perlu diteruskan selari dengan peningkatan jangkaan rakyat.
Terdahulu, pada majlis tersebut, JPJ memperkenalkan Aplikasi Pintar JPJ (MyJPJ) versi baharu, sebagai platform bersepadu yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan jabatan dalam satu aplikasi pintar.
Selain itu, selaras dengan usaha memperkukuh advokasi keselamatan jalan raya, JPJ juga memperkenalkan Ikon Keselamatan Jalan Raya JPJ dengan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dipilih sebagai ikon rasmi.
-- BERNAMA