AM

Sultan Sharafuddin Berkenan Rasmi Masjid An-Nur

07/03/2026 09:12 PM

KUALA LANGAT, 7 Mac (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berbuka puasa bersama rakyat serta merasmikan Masjid An-Nur, Kanchong Tengah di sini. 

Keberangkatan tiba baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin. 

Hadir sama Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 495 asnaf iaitu sebanyak RM500 seorang dengan jumlah keseluruhan RM247,500. 

Sultan Sharafuddin turut berkenan mendengar ceramah disampaikan Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Othman sempena Nuzul al-Quran sebelum berbuka puasa. 

Masjid di atas tanah berkeluasan 0.85 hektar itu mula beroperasi pada 1982 dengan dana pembinaan RM600,000 dan mampu memuatkan hingga 300 jemaah. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531611