PASARAN

Dagangan Di Bursa Malaysia Dijangka Tidak Menentu Minggu Depan

07/03/2026 10:30 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka didagangkan dengan ketidaktentuan minggu depan ketika pelabur menilai semula implikasi daripada konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Bursa Malaysia mungkin kekal dalam dagangan jajaran kecil minggu depan apabila pelabur mengekalkan pendirian berhati-hati dan tidak mengambil kedudukan yang agresif.

Beliau berkata FBM KLCI dijangka turun naik antara 1,690 dan 1,730 dengan turun naik kekal tinggi dalam jangka pendek disebabkan oleh ketidakpastian geopolitik.

“Bagaimanapun, struktur pasaran secara meluas masih dilihat positif. Selagi indeks penanda aras kekal di atas paras sokongan utama 1,690-1,700, pelabur jangka sederhana boleh mempertimbangkan untuk menambah pegangan dalam saham berwajaran tinggu atau memilih saham minyak dan gas untuk dagangan jangka pendek," katanya kepada Bernama.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata hala tuju pasaran jangka pendek akan bergantung kepada bagaimana konflik itu berkembang.

Pelabur akan memantau dengan teliti sama ada keadaan stabil atau bertambah buruk terutamanya berkaitan dengan potensi gangguan kepada koridor bekalan minyak utama seperti Selat Hormuz, katanya.

“Selagi ketidakpastian geopolitik berterusan, Bursa Malaysia mungkin terus mengalami turun naik walaupun peningkatan momentum pasaran baru-baru ini menunjukkan bahawa tekanan penurunan boleh dikekang oleh minat belian terpilih,” kata Mohd Sedek kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia menyaksikan penurunan ketara ke arah paras 1,700 mata awal minggu ini dalam persekitaran pergolakan geopolitik, diikuti oleh pengukuhan pertengahan minggu apabila minat belian kembali kepada saham berwajaran tinggi dalam sektor tenaga.

Harga minyak global meningkat melebihi AS$80 setong minggu ini apabila pasaran respons terhadap penutupan Selat Hormuz susulan konflik di Timur Tengah.

Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent melonjak 2.08 peratus kepada AS$87.19 setong.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 1.454 mata kepada 1,718.06 daripada 1,716.61 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 susut 66.41 mata kepada 12,367.41, Indeks FBM Emas merosot 84.07 mata kepada 12,527.36, ndeks FBM 70 berkurangan 421.14 mata kepada 17,103.33, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 10.76 mata kepada 12,206.80 manakala Idan Indeks FBM ACE merosot 320.22 mata kepada 4,400.03.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 293.75 mata kepada 20,788.05,  Indeks Tenaga naik 41.53 mata kepada 795.27, Indeks Perladangan merosot 21.13 mata kepada 8,248.44 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 7.46 mata kepada 178.29.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 17.29 bilion unit bernilai RM18.69 bilion daripada 13.62 bilion unit bernilai RM18 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 11.08 bilion unit bernilai RM17.45 bilion daripada 8.42 bilion unit bernilai RM16.87 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 4.29 bilion unit bernilai RM550.73 juta daripada 3.42 bilion unit bernilai RM392.22 juta minggu lepas.

Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 1.90 bilion unit bernilai RM571.79 juta daripada 2.58 bilion unit bernilai RM932.35 juta minggu lepas.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531377